Perak tak sambung kontrak syarikat urus pungut sampah - Utusan Malaysia

Perak tak sambung kontrak syarikat urus pungut sampah

SAARANI Mohamad pada sidang akhbar sempena program Hari Bertemu Pelanggan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kontrak Majuperak Utilities Management Sdn. Bhd. (MUMSB) menguruskan kerja-kerja pungutan sampah di beberapa kawasan di negeri ini tidak akan disambung.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan syarikat berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, sehubungan itu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan kembali kepada cara asal menguruskan pungutan sampah dan sisa pepejal secara sendiri tanpa melalui syarikat konsesi.

“Sebelum ini kita beri kepada syarikat konsesi mengurus sampah dan sisa pepejal dengan andaian kita akan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tetapi selepas kita buat keputusan untuk tidak memakai akta itu, maka tiadalah syarikat konsesi.

“Dengan keputusan untuk tidak lagi mengguna pakai Akta 672, bermakna tempoh percubaan dua tahun akan tamat. Selepas ini PBT akan kembali kepada cara asal,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Saarani berkata, hak menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah diberikan kepada MUMSB untuk menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah di beberapa kawasan PBT termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, khidmat konsesi MUMSB selama dua tahun yang dijadualkan berakhir November ini tidak akan disambung susulan penarikan penggunaan akta tersebut.

“Kita sudah bercakap dengan Maju Perak Holdings untuk menasihati MUMSB dan seperti yang saya sebutkan, MUMSB akan tamat konsesi pada November ini. Selepas ini pengurusan sampah dan sisa pepejal di PBT akan diuruskan oleh pekerja PBT itu sendiri atau dengan melantik kontraktor lain,” katanya.

Sebelum ini, isu kutipan sampah yang sering tergendala di kediaman penduduk membabitkan beberapa lokasi di sini terutamanya di kawasan Manjoi, Meru, Puncak Jelapang dan Klebang berikutan MUMSB menghadapi kekangan pekerja sejak April lalu.

Mengenai program hari ini, Saarani berkata, MBI menerima aduan atau rungutan terbanyak berbanding jabatan lain berikutan isu berkaitan pengurusan sampah domestik, anjing liar dan jalan berlubang.

Katanya, sebanyak 1,285 pelanggan hadir ke program hari ini dan 143 aduan telah diselesaikan dan diambil tindakan selanjutnya.

“Tiga jabatan menerima aduan tertinggi iaitu MBI, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN