SEREMBAN: Seorang Penyelia Rancangan Tanah Felda dipenjara 14 hari dan didenda RM25,000 di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kuasanya sebagai Setiausaha Jawatankuasa Tender agensi itu untuk mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan pada 2018.
Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Syafeq Mokhtar, 34, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan dan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh tertuduh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Setiausaha Jawatankuasa Tender Rancangan di Pejabat Felda Palong 5 telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Ia di mana tertuduh terlibat dalam keputusan bagi memilih syarikat miliknya untuk kerja menyediakan tenaga buruh, peralatan, pengangkutan bagi menjalankan kerja-kerja membekal dan menanam bunga hiasan di jalan kawasan kampung Felda Palong 5 bernilai RM4,990 seperti mana Surat Perintah Kerja (SPK).
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Palong 5, Gemas pada November 2018.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Terdahulu dalam prosiding kes, Mohd. Syafeq yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya dengan nada sebak menyesali perbuatannya dan memohon hukuman ringan dikenakan.
“Saya menanggung isteri dan tiga orang anak berusia 11 bulan hingga enam tahun serta membiayai pendidikan seorang adik yang masih belajar.
“Sepanjang tempoh tahanan reman saya dari 24 Mei lalu, saya amat menyesal atas perbuatan ini, saya harap mahkamah dapat kurangkan hukuman saya dan berbentuk denda sahaja supaya saya dapat bersama semula dengan keluarga saya,” katanya.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. –UTUSAN ONLINE