Pengambilan guru secara one-off: Tiada kuota khas untuk calon CoS - Utusan Malaysia

Pengambilan guru secara one-off: Tiada kuota khas untuk calon CoS

RADZI Jidin dalam sidang akhbar di KPM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada calon guru kontrak perkhidmatan (CoS) bagi program pengambilan guru secara one-off.

Itu jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berhubung salah faham yang timbul berkaitan kedudukan guru CoS bagi pengambilan khas guru itu.

Radzi berkata, beliau pada awalnya sudah menjelaskan bahawa keutamaan pengambilan khas itu diberikan graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

“Sekiranya ada kekosongan selepas mengambil kira calon yang ada ikhtisas pendidikan yang layak maka, barulah kita buka kepada mereka yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data lengkap mengenai bilangan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan dalam pasaran. Disebabkan tiada data lengkap itu, kita buat unjuran dan hantar sekitar 4,000 calon yang tidak ada ikhtisas pendidikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diperakukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, senarai 4,000 calon itu sebenarnya hanya senarai pendek bukannya kuota khusus kepada calon CoS.

Radzi berkata, JPA hanya bertindak memberi perakuan dan urusan memilih atau pelantikan berdasarkan bilangan yang diperlukan akan dibuat oleh SPP selaku badan berkuasa melantik.

Katanya, setiap pengambilan COS turut dibuat dengan diteliti dan tidak wujud istilah ‘mengambil bahagian’ guru yang lain.

“Ada satu kumpulan graduan ikhtisas sekitar 200 orang, SPP dapati mereka layak namun mereka belum terima surat daripada Senat Universiti. Adalah tidak adil kalau kita abaikan mereka sebab bukan salah mereka. Sebab itu, secara teknikal kita ambil mereka ini melalui CoS dan ia tidak ada kaitan dengan CoS yang tiada ikhtisas pendidikan. Ada yang buat fitnah kononnya yang ini (laluan COS khas) ‘makan portion’ CoS lain,” katanya.

Sebelum ini, ada beberapa pihak mendakwa SPP dan KPM tidak telus dalam keputusan temuduga COS yang dikeluarkan baru-baru ini selain dakwaan 5,000 kuota dikurangkan kepada 2,400 guru.

Pada 11 Mei lepas, Radzi dilaporkan berkata sebanyak 2,400 daripada 18,702 pengambilan guru secara one-off atau sekali pengambilan akan diisi oleh guru CoS yang bakal tamat kontrak Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya