JOHOR BAHRU: Kira-kira 40,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini dijangka terjejas, malah sebahagiannya berpotensi gulung tikar susulan krisis yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Teraju), Datuk Ismail Karim berkata, impak krisis tersebut dijangka lebih parah berbanding krisis kewangan 1997, pandemik Covid-19 atau mana-mana krisis terdahulu.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan peniaga besar, malah turut memberi tekanan hebat kepada PKS merentasi pelbagai sektor.
“Situasi akan menjadi sangat kritikal. PKS bukan sahaja terlibat dalam sektor makanan, tetapi melibatkan pelbagai bidang lain yang bergantung kepada rantaian bekalan.
“Sebagai contoh, produk makanan tidak dapat diproses dan dibekalkan seperti biasa. Pergerakan operasi menjadi terhad sekali gus menjejaskan produktiviti serta keseluruhan rantaian ekonomi,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2026 anjuran Teraju di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Ismail menggesa kerajaan agar segera menyalurkan bantuan kepada golongan terkesan termasuk menyediakan geran dan insentif seperti yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19. – UTUSAN








