JOHOR BAHRU: Meskipun mengalami masalah pendengaran sejak kecil, Mohd. Faiz Mohd. Arif yang kini berusia 36 tahun tidak menjadikan halangan untuk berjaya dalam akademik sehingga menggenggam segulung ijazah.
Berbekalkan iltizam dan semangat daripada ahli keluarga terutama isterinya, Nasihah Md. Noor, penolong pemeriksa kilang dan jentera itu antara antara 1,143 penerima skrol serta penerima khas kategori orang kurang upaya (OKU) bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam sempena Majlis Konvokesyen ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Mohd. Faiz yang kini bekerja di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Bahru mula belajar di UTM Space di Sabah pada 2012 ketika dia mula bekerja di sana dan menyambung semula di kampus Johor Bahru sebaik berpindah ke sini.
“Selama sembilan tahun saya belajar untuk memegang segulung ijazah, walaupun mengambil masa agak lama tapi saya rasa puas apatah lagi banyak cabaran antaranya terpaksa bekerja sambil belajar, menumpukan kepada rumah tangga dan mendidik anak-anak.
“Saya hampir putus asa, maklumlah saya pula menghadapi masalah pendengaran tetapi dengan bantuan isteri yang banyak memberi dorongan dan nasihat serta tunjuk ajar saya terus belajar walaupun dalam tempoh yang lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Faiz berkata, Nasihah yang seusia dengannya adalah seorang guru di Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah di Benut, Pontian yang merupakan tulang belakangnya sehingga berjaya bergelar graduan.
“Isteri saya juga bekas siswazah UTM dan memiliki sarjana dalam pendidikan. Jjadi dia yang banyak membantu saya selama ini,’’ kata bapa kepada tiga anak ini.
Sementara itu, penerima Anugerah Naib Canselor dalam Diploma Senibina, Ong Xin Qi, 22, tidak menyangka mendapat pengiktirafan itu setelah memperoleh CGPA 3.86 dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UTM Skudai.
“Saya ucap jutaan terima kasih kepada barisan pensyarah yang banyak membantu saya sehingga mendapat keputusan terbaik. Tidak lupa kepada ibu bapa yang sentiasa memberi galakan dan semangat untuk saya terus belajar sehingga mendapat ijazah,’’ katanya. – UTUSAN