PETALING JAYA: Rakyat sudah muak dengan politiking dan hanya mahukan kerajaan yang baik dan berkeupayaan bagi memulihkan negara ketika ekonomi dunia dalam keadaan tidak stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran politik yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kerajaan sedia ada perlu membuktikan barisan kepimpinan mereka kompeten ketika situasi
ekonomi dunia membimbangkan yang antaranya berpunca daripada kesan Perang RussiaUkraine selain ketegangan politik di Eropah.
“Tentunya sekarang rakyat mahukan pemerintahan yang efektif dan mampu mengurus di samping melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengatasi pelbagai cabaran masa kini mahu pun yang mendatang.
“Tiada ruang untuk mana-mana pemimpin yang bermotifkan politik semata-mata demi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Rafidah menggesa agar Perdana Menteri atau mana-mana menteri yang gagal menjalankan tugas disingkirkan daripada Kabinet bagi memberi laluan kepada individu lain yang boleh berkhidmat dengan lebih baik.
Tempoh tertentu
Kata bekas Ketua Wanita UMNO itu lagi, seseorang menteri tidak memerlukan tempoh tertentu seperti 100 hari kerana mereka seharusnya bekerja segera sebaik dilantik.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, integriti pemimpin boleh diragui jika setiap perbuatan atau tindakan golongan itu didorong oleh nafsu politik.
“Jauh bezanya antara politik dan kerajaan dengan politiking dan pemerintah. Ahli politik memikirkan pilihan raya manakala pemimpin pula mengutamakan generasi akan datang,” kata Rafidah.
Malaysia ketika ini berdepan tekanan inflasi berikutan peningkatan permintaan yang menyebabkan kenaikan harga barang.
Orang ramai mula merungut mengenai kos sara hidup. Kerajaan bertindak meningkatkan subsidi yang dijangka mencapai nilai RM71 bilion yang mana RM30 bilion untuk minyak dan gas.
Beberapa menteri dan timbalan menteri juga dikritik orang ramai kerana dilihat gagal untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup.
Malaysia juga berdepan kemungkinan kelembapan ekonomi selain situasi politik yang rapuh berikutan ketiadaan satu parti dengan majoriti besar.
Kegawatan ekonomi
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai tidak menjangkakan Malaysia alan mengalami kegawatan ekonomi susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Katanya, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini.
“Apa yang berlaku kini adalah akibat harga barang yang naik mendadak terutama makanan sekali gus memberikan gambaran seolah-olah ekonomi negara kita agak tidak terkawal,” katanya, sambil menambah negara harus memikirkan cara mengatasi kos kenaikan makanan.
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, walaupun nilai ringgit berterusan lemah, eksport negara dan pelaburan langsung asing (FDI) selain penggajian dan permintaan tenaga kerja mencatatkan peningkatan.
“Kita boleh lihat indikator makro iaitu jumlah pekerja naik, pengangguran menurun manakala akaun perdagangan positif di samping kadar inflasi terkawal sebanyak 2.1 peratus.
“Tiada situasi yang benar-benar menunjukkan ekonomi negara akan meleset, walaupun di peringkat global akan berdepan isu itu kerana asas kita kukuh jadi impak ke atas Malaysia memang kurang,” katanya. – UTUSAN










