PETALING JAYA: Pertubuhan Penyewa Kediaman Kebangsaan menasihat pembeli rumah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia tidak menyalahgunakan inisiatif dan subsidi diberi oleh kerajaan.
Projek yang merangkumi sebanyak 67,944 unit kediaman, melibatkan sebanyak 104 projek di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berharga RM300,000 seunit merupakan harga mampu milik majoriti rakyat di Wilayah Persekutuan.
Menurut Pengerusinya, K. Prakash, pihaknya berharap agar kerajaan dapat meluaskan Skim Pembiayaan Rent-to-Own yang kini hanya melibatkan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kepada bakal pembeli perumahan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia juga.
“Perluasan skim ini dapat membantu bakal pembeli yang kurang berkemampuan menyewa terlebih dahulu rumah idaman mereka sehingga berkeupayaan untuk mendapatkan pembiayaan bagi membeli rumah yang telah didiami.
“Kami berharap agar pihak kerajaan dapat mengadakan satu sekatan atau moratorium jualan semula dan sewaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun agar pembeli tidak menjual atau menyewakan rumah ini kepada mana-mana pihak,” katanya.
Tambah beliau, ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin membantu golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dengan pemberian subsidi pengurangan harga penjualan rumah.
“Kelulusan memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Rumah hanya perlu diberikan kepada pembeli rumah pertama dan orang kurang kemampuan untuk membeli rumah mengikut harga pasaran.
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu membuat penguatkuasaan berkala bagi mengelakkan rumah-rumah PPR disewakan kepada orang lain terutamanya kepada warga asing,” katanya.
Sehubungan dengan itu, hasil pemerhatiannya, mendapati bahawa kebanyakan pemilik rumah PPR yang mendapat bantuan subsidi kerajaan untuk memiliki rumah tersebut telah mengambil kesempatan untuk menyewakan kepada warga asing (rent to rent).
“Sebenarnya kerajaan mewujudkan konsep rumah PPR untuk membantu golongan miskin memiliki rumah dan bukannya untuk dikomersialkan atau disewakan kepada orang lain.
“Kami berharap agar isu ini ditangani dengan penguatkuasaan syarat, peraturan dan undang-undang yang jelas bagi menghalang penyewaan serta penjualan rumah PPR dengan adanya Akta Sewaan Kediaman yang sedang digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya. – UTUSAN










