TAPAH: Suami Jaslinda Saludin membuat laporan polis terhadap satu akaun TikTok yang didakwa mengaibkan dan memfitnah isterinya, yang hilang selama dua minggu akibat tersesat di Gunung Batu Putih di sini.
Haszman Othman membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini terhadap akaun TikTok tersebut yang menyatakan Jaslinda yang hilang sebenarnya ‘melepak’ di rumah tok batin.
“Pada 8 Jun 2026, lebih kurang pukul 9.30 pagi semasa berada di Hospital Tapah, saya melihat di TikTok ada hantaran dalam video mengaibkan dan memfitnah saya, isteri saya dan tok batin beserta kata-kata yang menghina dan fitnah.
“Dalam TikTok tersebut menyatakan bukan pergi ke mana-mana pun dan dia pergi melepak ke rumah tok batin.
“Saya tidak berpuas hati dengan tindakan video tersebut,” katanya dalam laporan tersebut.
Jaslinda yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu lalu.
Dia ditemui di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh dan penemuan itu dimaklumkan oleh komuniti Orang Asli setempat kepada pihak berkuasa. – UTUSAN










