PUTRAJAYA: Seramai 200 pelajar tahfiz di Pulau Pinang akan dibantu untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program Iltizam Huffaz, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP).
Menurut Pengurus Besar YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim, program yang dikenali sebagai ‘fast track‘ SPM dengan peruntukan RM300,000 menyasarkan sejumlah pelajar itu bagi kumpulan pertama mengikuti program berkenaan untuk tempoh lapan bulan mulai Julai ini.
Beliau berkata, inisiatif itu dibuat memandangkan kebanyakan pusat tahfiz tidak mewajibkan pelajar mereka menduduki SPM ketika berusia 17 tahun apatah lagi terdapat kira-kira 80 pusat tahfiz belum berdaftar berbanding 46 buah yang berdaftar di negeri itu.
Keadaan itu jelasnya, menyukarkan pelajar-pelajar lepasan institusi tersebut untuk meneruskan pengajian dan mendapatkan peluang pekerjaan yang memerlukan kelulusan minimum SPM.
“Perkara ini berlaku atas pelbagai faktor seperti kekurangan dana untuk menggaji tenaga pengajar akademik selain sistem pengajian al-Quran yang diterapkan tidak boleh dicampur aduk dengan subjek lain.
“Oleh itu, YIPP memulakan inisiatif ini supaya dengan adanya SPM, pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada dalam atau luar negara selain membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz di Pulau Pinang terutamanya untuk mendapat peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
YIPP merupakan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kawal selia Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MANIPP).
Menurut Mohd. Fitri, sejumlah guru pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kompleks Darul Hidayah, Kepala Batas dipilih Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk memberi tunjuk ajar menerusi program tersebut.
Antara subjek yang akan diajar termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab. – UTUSAN










