Pegawai kanan polis, koperal didakwa seludup 119 migran dari Myanmar - Utusan Malaysia

Pegawai kanan polis, koperal didakwa seludup 119 migran dari Myanmar

LIMA individu termasuk pegawai dan anggota polis dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeludup migran pada Mei lalu di Kompleks Mahkamah Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pegawai kanan polis dan anggota berpangkat koperal yang bertugas di E6 Cawangan Khas antara lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menyeludup 119 migran pada Mei lalu.

Tertuduh, Asisten Superintenden Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd. Razin Razali, 32, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Tiga lagi tertuduh yang didakwa berasingan ialah Anas Hafizin Ahmad, 37, yang juga polis bantuan sebuah agensi kerajaan dan Muhamad Aslam Osman, 29, serta Ibrahim Dahamid, 38, yang masing-masing bekerja sendiri dan nelayan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup 119 migran warga Myanmar di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, Kota Setar, di sini kira-kira pukul 9.30 malam, 24 Mei lalu.

Mohamad Faizal dan Mohd. Razin dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tiga lagi tertuduh yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26A akta sama boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Zahruddin Mohammed Isa serta Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd. Sobri dan Nur Syifa Mohd. Hamzah, manakala peguam Ravi Shankar Gandhi mewakili Mohd. Razin sementara tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan bagi kesalahan tersebut dan mahkamah menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Mei lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan dinaiki empat warga tempatan disyaki tekong dan 119 warga Myanmar di perairan Kuala Kedah, di sini.

Polis juga masih lagi meneruskan siasatan bagi mengesan, menangkap dan membawa saki baki ahli kumpulan ini ke muka pengadilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya