PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini dan penilaian murid akan dibuat menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
PBS akan melibatkan bukan sahaja pelajar sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3 tetapi juga bagi murid-murid sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada libat urus pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan guru berhubung penilaian ke atas pelajar susulan pemansuhan PT3.
Menurut beliau, PBS akan dimulakan tahun ini dengan pelajar dan murid akan dinilai menerusi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) selain Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
“Menerusi pendekatan baharu ini, PBD akan ditambah baik menerusi pentaksiran sumatif di mana murid dan pelajar yang terlibat akan menduduki ujian akhir pada sesi akademik.
“Bagi murid Tahun 4, 5 dan 6, mereka akan menduduki ujian akhir bagi lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Manakala bagi pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 akan menduduki ujian bagi semua mata pelajaran,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Kata Radzi, bagi ujian akhir sesi akademik itu, pelajar dan murid akan menjawab kertas soalan daripada bank soalan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan penilaian tersebut lebih selaras dan standard.
Jelas beliau, ujian akhir tersebut bukan peperiksaan pusat tetapi membabitkan satu kaedah untuk penyelarasan bagi mendapatkan input berterusan memperbaiki sistem pendidikan negara.
Menurutnya, keputusan ujian akhir tersebut juga bukan bertujuan untuk membandingkan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selain tiada keperluan untuk mengumpul prestasi setiap sekolah.
“Kami tidak mahu pentaksiran itu menjadi tekanan baharu kepada guru dan murid sebaliknya kita mahu menambah baik sistem pendidikan negara dari semasa ke semasa,” katanya.
Radzi berkata, bermula tahun ini, pelaporan PBD akan dibuat dua kali iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik yang memaparkan penilaian tahap usaha murid, ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi.
Jelasnya, pelaporan PBD bagi tahun ini akan dilaksanakan pada akhir tahun manakala bagi pertengahan sesi ia akan dilaksanakan mulai sesi 2023/2024.
Dalam perkembangan sama, Radzi berkata, keputusan ujian akhir itu bagaimanapun tidak digunakan untuk kemasukan ke sekolah khusus.
Menurutnya, kementerian masih mengekalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) untuk kemasukan murid ke sekolah khusus sejak 2020 lagi dan ia akan diteruskan untuk tahun-tahun seterusnya.
“Kita tidak mahu keputusan ujian akhir itu dijadikan untuk keperluan masuk ke sekolah khusus,” katanya. – UTUSAN










