KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak boleh memegang jawatan ‘biasa-biasa’ dan selayaknya menjadi presiden pengganti (designate president) untuk menerajui parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng Wei Shien berkata, keputusan memilih Zuraida sebagai pengganti setelah mempertimbang pengalaman beliau sebagai menteri serta wakil rakyat berpengaruh.
Justeru, ahli Parlimen Julau itu yakin Zuraida dapat menguatkan struktur parti dan membawa PBM ke satu tahap lebih tinggi setanding parti-parti politik sedia ada.
Meskipun dilihat janggal menjadi presiden pengganti walhal baru melompat parti, Wei Shien berkata, keadaan itu tidak boleh menafikan pengalaman Zuraida selain ramai wakil rakyat juga melakukan tindakan serupa.
“PBM tidak boleh memberikan beliau jawatan biasa-biasa. Ramai dalam parti juga bersama beliau. PBM pun kita boleh nampak ada dua ahli Parlimen sebelum ini, jadi, apabila Zuraida masuk, saya rasa ia sudah sesuai jika dapat satu jawatan besar (presiden).
“Kita boleh nampak beliau adalah pemimpin ada pengalaman dalam parti, sudah jadi wakil rakyat tiga penggal malah menjadi dan berada dalam Kabinet,” katanya ketika ditemui semalam.
Pada 9 Jun lalu, Wei Shien mengumumkan Zuraida menyertai PBM dan mengangkat beliau sebagai presiden pengganti ketika beliau baru sahaja melompat parti.
Sentimen
Mengulas lanjut, kata Wei Shien, pengaruh dan sentimen penyokong ‘Melayu’ juga menjadi faktor mengapa Zuraida perlu diberikan jawatan itu sedangkan beliau adalah anak jati Sarawak yang mungkin kurang menarik penyokong majoriti di Semenanjung.
“Memang parti ini untuk semua bangsa, tapi kita harus sedar hakikatnya kebanyakan kawasan mungkin majoriti Melayu Islam.
Majoriti kawasan PBM akan bertanding pilihan raya juga adalah di Semenanjung. Pada akhirnya, ini penting dan lebih baik orang berpengalaman dan boleh berhubung terus dengan rakyat,” katanya.
Oleh itu, katanya, PBM akan menyerahkan surat permohonan rasmi kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Barisan Nasional (BN) tidak lama lagi untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu.
Jelasnya, beliau sudah berbincang dengan semua ahli majlis kerja tertinggi dan mendapat maklum balas menggalakkan untuk menjadi sebahagian dalam BN.
“PBM membuat permohonan untuk menjadi ahli sepenuhnya dan bukan bersekutu kerana PBM tidak seperti parti bergabung (Friends of BN) sedia ada. Mereka tiada wakil rakyat dan kawasan sedangkan PBM ada kelebihan itu.
“Saya jangka permohonan ini seminggu dua. Hasil perbincangan bersama BN, saya yakin (akan diterima),” katanya. – UTUSAN











