SABAK BERNAM: Pas kekal dengan pendiriannya untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun terdapat desakan-desakan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di adakan.
Naib Presidennya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pendirian parti adalah jelas seperti dimaklumkan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu dan mendakwa politik di Kedah, Kelantan dan Terengganu ketika ini adalah stabil.
“Sekarang ini, politik agak stabil, ekonomi kita agak baik, pelabur-pelabur pun ada keyakinan, kalau kita tidak tumpu nanti, rakyat pula yang akan menjadi tumpuan. Saya bercakap dalam konteks tiga negeri (yang ditadbir Pas),” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai desakan-desakan yang timbul terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan PRU-15 dengan membubarkan Parlimen.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya sehingga habis penggal, tahun depan.
Menurut Abdul Hadi, pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Dalam pada itu Idris menjelaskan, pentadbiran negeri boleh menangguhkan pembubaran DUN sehingga habis penggal kerana kuasa tersebut adalah di bawah kerajaan negeri.
“Kita tahu kuasa bubar adalah di bawah Menteri Besar dan di peringkat Persekutuan adalah Perdana Menteri sendiri. Sudah lama kita putuskan demikian.
“Sebab itu, pada saya macam tadilah, pandangan kami jelas, Pas negeri kita adalah tumpu kepada soal (habis penggal) kemudian tumpuan kita untuk membangunkan sosial ekonomi, rakyat yang tertekan dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN