Naik elaun warden selepas 25 tahun langkah jangka pendek - iGuru

Naik elaun warden selepas 25 tahun langkah jangka pendek – iGuru

MOHD AZIZEE HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan menaikkan kadar elaun warden sebagai satu langkah jangka pendek.

Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, iGuru melihat demikian setelah tiada semakan elaun warden sejak 1997. 

Katanya, iGuru berpandangan ada aspek lain yang perlu diberi perhatian agar isu beban tugas warden dapat diselesaikan untuk jangka panjang.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian Kementerian Pendidikan adalah mengurangkan beban tugas warden dengan mewujudkan guru warden seperti guru pusat sumber dan tidak dibebankan dengan bebanan akademik yang berat.

“Selain itu, mewujudkan perjawatan warden sepenuh masa yang bukan dari kalangan guru dan mengkaji nisbah warden dengan murid iaitu dengan mengecilkan nisbah warden dari sedia ada iaitu 1 warden:50 murid kepada 1 warden:40 murid. 

“Langkah ini diharap dapat meningkatkan kualiti kerja guru warden dan meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, satu hakikat yang perit adalah guru warden berdepan dan terdedah dengan tindakan saman ibu bapa jika berlaku sesuatu kejadian di asrama. 

Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan sahaja dari imbuhan material semata-mata. 

“Tetapi juga dari sudut peruntukan undang-undang dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib para guru,” ujarnya. 

Mohd. Azizie bagaimanapun merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kementerian Pendidikan dan menyambut baik langkah kenaikan elaun tersebut. 

“Pihak iGuru mengucapkan setinggi- tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana menaikkan elaun warden sebanyak RM60 menjadi RM300. 

“Kenaikan ini diharapkan dapat memberikan suntikan dan motivasi kepada para warden untuk bekerja dengan lebih gigih dan berdedikasi. 

“Ia juga sebagai tanda pihak Kementerian Pendidikan mendengar suara akar umbi kesatuan-kesatuan guru,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya