ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diminta menyelesaikan beberapa masalah berkaitan penanaman padi di negeri ini, sebelum bercakap mengenai usaha pelaksanaan padi sebanyak lima kali bagi tempoh dua tahun seperti dicanang sebelum ini.
Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, masyarakat terutamanya golongan petani tertanya-tanya sama ada perancangan Muhammad Sanusi itu sekadar retorik atau realiti bersandarkan keadaan semasa.
Menurut beliau, antara yang perlu diberi perhatian adalah isu pengairan ketika Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning tidak pernah menyalurkan air di luar musim penanaman padi sebelum ini.
“Adakah kajian sudah dilakukan terhadap ketiga-tiga empangan itu sama ada mampu atau tidak untuk terus menyalurkan air sekiranya padi hendak ditanam sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun.
“Selain itu, petani sentiasa menghadapi masalah mendapatkan bekalan benih setiap musim. Penjualan benih padi di pasaran gelap yang melambung harganya juga berlaku secara tidak terkawal.
“Jadi bagaimana pihak Menteri Besar mahu menjalankan penanaman di luar musim,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memastikan penanaman padi di negeri ini dilaksanakan lima kali dalam tempoh dua tahun bagi memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada beras import.
Ketika ini, penanaman padi dilaksanakan dua kali setahun dengan Kedah turut membekalkan 43 peratus bekalan beras ke seluruh tanah air.
Asmirul menambah, isu lain yang turut perlu diberi perhatian adalah kualiti racun subsidi yang meragukan dan tidak diyakini petani.
“Tanyalah mana-mana penanam padi mengenai bekalan racun subsidi yang tidak pernah memuaskan. Kadang-kadang untuk mendapatkannya pun lambat,” katanya.- UTUSAN










