KUALA KANGSAR: Mayat tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemukan terbakar di tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat itu ditemukan orang awam pada pukul 3.05 petang sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar telah ke lokasi bagi mengesahkan penemuan itu.
“Unit Forensik (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai mati dibunuh sebelum dibakar di lokasi sama. Berdasarkan penelitian fizikal, mangsa disyaki seorang wanita namun identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Subkey Alias di talian 013-9285436.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN