Pas fokus menang PRU, bukan jawatan PM

Pas fokus menang PRU, bukan jawatan PM

TUAN Ibrahim Tuan Man merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas mengakui mempunyai banyak tokoh berwibawa untuk ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri, namun parti itu lebih fokus kepada usaha untuk menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi mencapai hasrat itu, Pas meningkatkan gerak kerja, berbanding berbincang soal calon Perdana Menteri yang akan diputuskan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Malah kata beliau, tidak ada usul berkaitan calon Perdana Menteri yang diterima daripada perwakilan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-71 setakat ini.

“Biasanya usul dihantar awal untuk kita bincang di peringkat jawatankuasa usul, kemudian barulah dibawa ke dalam muktamar. Kita ada mesyuarat terakhir pada Ahad ini untuk kita tengok segala usul-usul.

“Cuma sepanjang maklumat saya, tidak ada usul tersebut hingga setakat ni. Tapi ada usul tergempar,“ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-66 di Kompleks Pas Kedah di sini, semalam.

Ditanya sama ada Pas akan menuntut jawatan Pengerusi PN kelak sekiranya terus mendominasi gabungan itu, Tuan Ibrahim berkata, perkara melibatkan dasar akan diputus dalam mesyuarat majlis tertinggi PN.

“Majlis Presiden yang memutuskan siapa nak jadi Pengerusi PN, jadi kita akan bawa dalam mesyuarat dan selesaikan dengan baik, harmoni sebab kita lihat potensi PN hadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sangat besar,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, persoalan mengenai calon Perdana Menteri daripada PN dan Pas khususnya yang semakin kerap dibangkitkan kebelakangan ini disebabkan rakyat dilihat hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.

Katanya, tumpuan rakyat kini semakin terarah kepada siapa tokoh yang bakal menerajui negara pada masa hadapan khususnya pada PRU16.

“Hari ini orang mula berbincang siapa bakal Perdana Menteri, kenapa ramai yang tanya PN siapa akan jadi Perdana Menteri dan ramai yang tanya Pas siapa tokoh Perdana Menteri.

“Kenapa mereka tanya kami, kenapa tanya PN kerana mereka dah hilang kepercayaan dan tidak yakin kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN