ALOR SETAR: Pandangan bahawa Pas bersedia untuk menampilkan calon Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan perwakilan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.
Salah seorang perwakilan yang ditemui Utusan Malaysia, Ahmad Azlan Abu Bakar, 39, berkata, pihaknya senada dengan pandangan itu memandangkan Pas mempunyai ramai pemimpin berwibawa untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri kelak.
“Selaku anak muda saya melihat kepada suasana politik dan keputusan yang dianalisis hari ini yang diberikan oleh rakyat dalam PRU15 lepas di mana Pas paling ramai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan paling ramai wakil rakyat di seluruh Malaysia, jadi wajar Pas diberi peluang untuk diangkat satu kepimpinan sebagai Perdana Menteri selepas PRU16.
“Pas bukan parti pak lebai semata-mata tetapi dilengkapi dengan pemimpin daripada pelbagai bidang, kita ada Naib Presiden yang berlatar belakangkan aeroangkasa. Menteri Besar yang berlatar belakangkan aktivis parti dan ulama. Anak muda sudah melihat pelbagai lenggok kepimpinan yang ada dan hari ini parti bergerak maju dan meningkatkan hasil yang baik,” kata perwakilan dari Indera Mahkota, Pahang.
Beliau berkata, rakyat sudah menunjukkan kematangan dalam pilihan raya dengan memberi kepercayaan besar kepada Pas, sekali gus membuktikan parti itu bukan sekadar parti ulama semata-mata, tetapi memiliki barisan pemimpin pelbagai latar belakang profesional, aktivis dan teknokrat.
Seorang lagi perwakilan, Amir Norazman, 30, dari Tangga Batu, Melaka, pengumuman calon Perdana Menteri terlalu awal boleh mengundang risiko politik termasuk serangan fitnah dan pembunuhan karakter terhadap tokoh yang dinamakan.
“Kita kena ambil satu langkah ke hadapan cuma perlu berhati-hati untuk ketengahkan ini kerana sekarang zaman fitnah dan pembunuhan karakter mungkin berlaku. Jadi kita semua perlu berhati-hati dengan kemungkinan ini,” katanya.
Majdi Hussain, 35, dari Kuala Kedah pula berpandangan, soal calon Perdana Menteri perlu ditentukan berdasarkan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi Pas, dengan mengambil kira prinsip bahawa parti lebih besar daripada individu.
“Dalam Pas tidak ada siapa yang lebih besar dari parti. Apa pun pandangan, pendirian daripada pucuk pimpinan akan diutamakan dan kami di akar umbi akan mendukung apa juga keputusan mereka. Apa juga keputusan berhubung perkara ini kami akan sokong,” jelasnya. -UTUSAN










