Mayat lelaki ditemukan terbaring dalam rumah - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemukan terbaring dalam rumah

ANGGOTA polis mengusung mayat Anuar Yusof yang ditemukan dalam sebuah rumah di Kampung Lubok Panjang, Bukit Besi, Dungun. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Misteri bau busuk yang disangkakan berpunca daripada bangkai binatang akhirnya terungkai apabila mayat seorang lelaki dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu ditemukan dalam sebuah rumah di Kampung Lubok Panjang, Bukit Besi di sini hari ini.

Mayat Anuar Yusof, 52, ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam, di ruang tamu rumahnya oleh pemilik kedai makan bersebelahan rumahnya, kira-kira pukul 8.10 pagi.

Pemilik kedai makan, Mohd. Rozlan Deraman, 55, berkata, dia dan seorang pelanggannya, Mohd. Redzuan Mohd. Zain, 44, menghampiri rumah tersebut selepas bau busuk semakin kuat dari arah rumah itu.

“Saya hairan juga sebab tak nampak arwah sejak beberapa hari lalu. Kali terakhir saya nampak dia berada di rumahnya pada pagi Jumaat lalu. Sejak dua hari lepas saya dah terbau busuk. Saya tak terfikir jiran saya meninggal dalam rumah kerana selalunya jika motosikalnya tiada, dia tidak ada di rumah. Saya tak tahu motosikalnya rosak dan dihantar ke rumah saudaranya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd. Rozlan berkata, sebaik sahaja menghampiri rumah tersebut, mereka mendapati pintu tidak berkunci dan ada air paip mengalir keluar dari rumah itu.

“Semakin hampir dengan rumah tersebut, bau semakin kuat. Kami ternampak mayat mangsa dalam keadaan terbaring menerusi tingkap yang tidak ditutup,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah mengesahkan mengenai kejadian itu.

“Difahamkan, mangsa yang merupakan buruh kontrak di sebuah kilang kayu di Bukit Besi tidak berkahwin dan tinggal bersendirian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya