Masalah mental 2019: Dewasa 2.3%, kanak-kanak 9.5 % - Utusan Malaysia

Masalah mental 2019: Dewasa 2.3%, kanak-kanak 9.5 %

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Khairy Jamaluddin (kanan) sempena Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri ini di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 2.3 peratus orang dewasa manakala 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental pada tahun 2019.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kadar tersebut tidak mustahil lebih tinggi ketika ini kerana kesan daripada pandemik Covid-19.

Menurut beliau, angka tersebut direkodkan menerusi peningkatan orang ramai yang mahu mendapatkan bantuan dan sokongan kesihatan mental dalam tempoh tersebut.

“Masalah kesihatan mental seperti kemurungan yang semakin meningkat memberi cabaran besar kepada sektor kesihatan.

“Kesihatan mental bukan sahaja mempengaruhi kesihatan fizikal, malah kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang sama ada kanak-kanak ataupun dewasa,” katanya ketika berucap sempena Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri ini di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, Khairy berkata, berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap diabetes iaitu bersamaan anggaran 3.9 juta individu atau 18.3 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa.

Katanya, angka tersebut menunjukkan peningkatan daripada tinjauan sama pada tahun 2015 iaitu sekitar 13.4 peratus.

“Angka ini membimbangkan kerana tahap kesedaran rakyat mengenai kesihatan masih rendah. 

“Mengikut unjuran statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, populasi warga emas lingkungan 60 tahun dan ke atas  akan meningkat kepada 15 peratus daripada keseluruhan populasi.

“Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara berusia emas menjelang 2030, dan itulah sebabnya kita mahu supaya warga emas menjalani hidup sihat serta berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya bersama rakan-rakan strategik akan menggunakan kesempatan seperti jelajah ANMS bagi menggerakkan inisiatif saringan kesihatan kebangsaan tersebut supaya lebih ramai tampil menjalani saringan.

“Kita meletakkan sasaran 1.5 juta rakyat Malaysia berusia 40 tahun dan ke atas yang tidak pernah melakukan saringan kesihatan untuk disaring dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya