PASIR MAS: Luluh hati seorang nenek apabila melihat cucunya yang sedang hamil tujuh bulan ditemukan maut dengan kesan tembakan di Kampung Teresek, Repek di sini petang semalam.
Zawiyah Sulong, 68, berkata, lebih memilukan hatinya apabila mengenangkan nasib tiga cicitnya, masing-masing berusia antara 10 hingga 3 tahun, yang belum mengetahui berita kematian ibu mereka.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Farrah Emirah pada malam sebelum cucunya itu keluar untuk mengurut.
“Perasaan saya mulai bimbang apabila Farrah Emirah tidak pulang ke rumah pada pukul 10.30 malam. Saya telah beberapa kali menghubunginya namun menemukan jalan buntu.
“Selepas Farrah Emirah tidak pulang ke rumah, saya berusaha mencarinya di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang dengan membawa ketiga-tiga cicit menaiki kereta. Bagaimanapun gagal,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pasir Mas malam tadi.
Zawiyah memberitahu, sekitar pukul 4.30 petang dia dikejutkan dengan kedatangan penduduk kampung yang mengatakan cucunya telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta di Kampung Teresek.
Katanya, setiba di lokasi dia melihat Farrah Emirah sudah tiada dan melihat kesan darah pada perut cucunya itu.
“Farrah Emirah telah berpisah dengan suami pada Februari lalu dan semua anak-anak di bawah jagaannya ketika ini.
“Sebelum kejadian, Farrah Emirah ada membuat pemeriksaan kandungan dan begitu gembira apabila mendapati bayi dikandungnya itu adalah lelaki,” jelasnya. – UTUSAN










