KUALA LUMPUR: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) dijadual diadakan di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei tahun depan yang dijangka menarik sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer membabitkan penyertaan 20 negara.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pameran LIMA ‘23 yang diadakan tahun depan adalah tepat pada masanya kerana negara berusaha memulihkan ekonomi selepas dua tahun sekatan pergerakan.
Sehubungan itu, katanya, edisi LIMA kali ini amat dinantikan bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi pempamer, delegasi antarabangsa dan orang awam memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 2019.
“LIMA tertunda sejak 2021 disebabkan pandemik Covid-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali adalah berdasarkan kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki fasa peralihan ke endemik.
“Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima dari rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terbabit, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA 2023 sebagai yang terbesar pernah direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran LIMA ’23 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. – UTUSAN