Lelaki maut angkara pemandu mabuk - Utusan Malaysia

Lelaki maut angkara pemandu mabuk

KEADAAN kemalangan membabitkan dua kenderaan yang menyebabkan seorang lelaki maut di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar dekat Kampar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 11.45 malam itu membabitkan kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa, Mohd. Nazri Sham Aring, 42, dan sebuah kereta Honda Civic dipandu lelaki berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu suspek telah memasuki laluan kereta mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang bekerja di Pejabat Tanah Kampar cedera di bahagian dada dan maut di tempat kejadian.

“Dalam nahas tersebut, anak lelaki mangsa berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala manakala isterinya pula cedera ringan.

“Pemandu Honda Civic yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol telah ditangkap dan ditahan reman lima hari untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN