ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan kemasukan lebih 12 juta pengembara keluar masuk melalui laluan darat di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia -Singapura (LinKedua) sejak pembukaan sempadan bermula 1 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, statistik purata masuk dan keluar di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI) adalah seramai 138,000 orang manakala di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula seramai 28,000 orang.
“Jabatan Imigresen melaporkan sejumlah 6.3 juta warganegara tempatan dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI antara April hinggi minggu lalu. Bagi di CIQ KSAB pula, seramai 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui kompleks berkenaan bagi tempoh yang sama,” katanya semasa menjawab soalan Andrew Chen Kah Eng (DAP- Stulang) berkaitan keadaan sempadan Malaysia-Singapura termasuk bilangan aliran orang menggunakan CIQ BSI dan CIQ KSAB pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Pada masa ini, sebanyak 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI dan 169 kaunter di CIQ KSAB.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan negeri turut menjangkakan bilangan pengembara keluar masuk pengguna di kedua-dua kompleks itu mencatatkan peningkatan mendadak.
Antara inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan negeri dengan sokongan pelbagai agensi peringkat negeri dan Persekutuan di BSI adalah menambah lorong motosikal daripada 50 menjadi 75 lorong dengan setiap satu berserta kaunter hibrid.
“Di lorong kereta pula, kerajaan akan laksanakan sistem ‘Single Loading Double Capacity‘ bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter. Penggabungan kemudahan Touch ‘n Go di kaunter imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari 2023. Selain itu, kita juga akan membenarkan kenderaan ringan menggunakan laluan lori sebagai laluan kontra semasa waktu kesesakan. Ini turut melibatkan pengubahsuaian kepada kaunter untuk kemudahan pemandu kereta,” katanya.
Bagi kedua-dua pintu masuk itu, pihak imigresen menugaskan seramai 1,631 anggota, 722 kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 87 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan dan 206 anggota Polis Diraja Malaysia. – UTUSAN










