TAIPING: Masyarakat diseru membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pengamal perubatan Islam yang menggunakan kaedah perubatan menyalahi syariat dan akidah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, laporan boleh dibuat kepada jabatan agama Islam negeri, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menurutnya, laporan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan agar individu yang terlibat dapat diambil tindakan.
“Kita berharap mereka yang beragama Islam yang tahu ada pengamal perubatan Islam yang mengunakan kaedah selain daripada bacaan ayat al- Quran seperti jampi serapah atau mantera, segera laporkan kepada agensi yang berkenaan.
“Tidak perlu menunggu kedatangan pejabat agama Islam kerana ada kalanya penyalahan perbuatan seperti ini tidak sampai ke pengetahuan mereka,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas program Jualan Bergerak Bantu Rakyàt Parlimèn Bukit Gantang di Kampung Kurnia Jaya Kamunting, dekat sini hari ini.
Menurut Idris, orang ramai yang mengetahui tentang perkara seperti itu perlu segera bertindak dengan membuat laporan kepada pihak yang berkaitan supaya ia tidak menular hingga mendatangkan musibah kepada rakyat dan negara.
Beliau berkata, kuasa pentadbiran agama Islam adalah mengikut negeri dan masing-masing boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang menyalahi dari segi pegangan akidah dan syariat yang jelas.
“Begitu juga dengan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing. Paling penting ialah kerjasama orang ramai yang perlu menyalurkan dan membuat laporan agar perkara seperti ini dapat dibanteras,” katanya.
Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor mencadangkan agar Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengadakan satu mesyuarat bagi memperhalusi isu berhubung trend seorang pengamal perubatan Islam melakukan kaedah rawatan imbas pesakit dari jarak jauh secara dalam talian.
Beliau berharap dapat ditetapkan hukum berkenaan perkara tersebut dan diselaraskan di seluruh negara agar tidak disalahgunakan sesetengah pihak. – UTUSAN










