La Nina pengaruhi hujan lebat hingga hujung tahun - Utusan Malaysia

La Nina pengaruhi hujan lebat hingga hujung tahun

FENOMENA La Nina yang sedang berlaku ketika ini mempengaruhi curahan dan intensiti hujan. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena La Nina yang sedang berlaku ketika ini mempengaruhi curahan dan intensiti hujan dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, La Nina yang diramal berakhir pada Ogos hingga September dijangka berterusan sehingga hujung tahun.

“Apabila melihat kepada keadaan Lautan Pasifik, feno­mena ini bergerak perlahan tetapi dijangka bertahan sehingga akhir tahun ini. Oleh yang demikian, negara akan mengalami hujan yang berpanjangan sehingga hujung tahun.

“Keberadaan fenomena La Nina yang berkategori sederhana sejak tahun lepas hingga kini, mengubah corak suhu permukaan air di laut dan lautan sekitar negara dan rantau Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, La Nina mampu menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif sekali gus menghasilkan ribut petir serta angin lebih kencang disebabkan ia meningkatkan kekuatan angin­ timuran.

Daripada kejadian itu, kata­nya, ribut petir akan menghasilkan lebih banyak hujan yang melanda beberapa kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Justeru, pihak tertentu khususnya menerusi Jabatan Meteo­rologi Malaysia (MetMalaysia) sepatutnya mengeluarkan amaran ribut petir atau banjir kilat yang lebih baik iaitu lebih pantas supaya rakyat mampu bersedia lebih awal.

“Sebelum ini, amaran yang dikeluarkan MetMalaysia me­rangkumi kawasan luas iaitu Pantai Timur walhal banjir kilat kerap berlaku di kawasan lebih kecil seperti di Kedah.

Jadi, amaran yang lebih menjurus kepada daerah perlu dikeluarkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azizan tidak menafikan punca lain berlaku banjir di sekitar kota raya adalah daripada aktiviti pembangunan yang tidak terkawal oleh pihak tidak berwajib.

“Apabila aktiviti pembinaan itu dilakukan di kawasan yang tidak selamat seperti menghalang saliran asal sungai dan kawasan tanah gambut, kemungkinan berlakunya banjir itu ada.

“Justeru, banyak perkara perlu dikaji dari segi geologi dan geomorfologi sebelum melakukan apa-apa pembinaan yang melibatkan kawasan gambut. Dan oleh sebab itu, pembinaan terowong ‘Smart’ sangat pen­ting untuk mengendalikan banjir,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya