PETALING JAYA: Pasaran di Malaysia sama ada perniagaan atau pengguna mempunyai keupayaan untuk menyerap krisis atau perubahan, menjadikan peningkatan dua peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Mac lalu tidak memberi kesan negatif, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, harga barangan di pasaran juga masih terkawal dan tidak ada peningkatan yang mengejutkan.
Katanya, perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) juga dilihat dapat menyerap peningkatan kadar ini dengan baik dan tidak ada kesan negatif dari segi harga yang ditawarkan.
“Bagaimanapun, kita masih baru lagi. Mungkin kita perlu tengok semua kesan ini dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaan.
“Saya masih meragui keperluan untuk meningkatkan kadar cukai ini bagi menambah hasil kepada negara sebanyak RM3 bilion seperti yang disasarkan kerajaan. Ini kerana peningkatan itu boleh dicapai apabila sistem diatur dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kesan peningkatan kadar SST ke atas industri dan juga PMKS secara keseluruhannya agak minimum.
Katanya, ini bermakna industri dan peniaga masih lagi mampu menyerap kos tambahan ini kerana peningkatan kadar itu bukan untuk semua jenis perkhidmatan dan ada lagi pengecualian untuk perkhidmatan tertentu.
“Saya melihat PMKS kebanyakannya mengambil keputusan untuk menyerap kos tersebut terutamanya yang dalam pasaran kompetitif kerana tidak mahu pelanggan beralih kepada pesaing mereka apabila mereka menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
“Rakyat pula tidak menerima impak yang ketara peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sesuka hati,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan kemungkinan besar akan mendapat hasil tambahan sebanyak RM3 billion yang disasarkan kerana jangkaan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.0 peratus tahun ini akan menyaksikan peningkatan aktiviti perniagaan di negara ini. – UTUSAN










