minta tempoh

Kuarters pekerja berpusat: Kerajaan Melaka minta tempoh

NGWE Hee Sem (kanan) bertanya sesuatu semasa melawat Restoran 35 di Plaza Mahkota, Bandar Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri belum bersedia membina kuarters pekerja berpusat (CLQ) di seluruh kawasan perindustrian di negeri ini, seperti ditetapkan Kementerian Sumber Manusia menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Tenaga Kerja, Hubungan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kementerian bagi memberi kelonggaran dalam tempoh dua atau tiga tahun untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan bagi semua pekerja warga asing di beberapa sektor perindustrian di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah dibenarkan untuk mendiami rumah kedai, taman perumahan dan rumah pangsa buat sementara waktu.

“Saya jangkakan menjelang tempoh 2025 yang ditetapkan oleh kerajaan, seluruh kawasan perindustrian di negeri ini akan mempunyai CLQ untuk pekerja warga asing.

“Setakat ini, ada pihak pemaju sedang membangunkan sebuah CLQ yang ketika ini masih dalam pembinaan di Ayer Keroh.

“CLQ ini amat penting bagi mengawal pekerja warga asing, perlu ditempatkan di kawasan khas dan tidak dibiarkan di merata-rata tempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Restoran 35 di Plaza Mahkota, Bandar Hilir, di sini semalam.

Tambah Hee Sem, kerajaan negeri menerima banyak aduan berhubung pelbagai masalah ditimbulkan pekerja asing yang mendiami kawasan penempatan penduduk.

“Mereka (pekerja asing) duduk terlalu ramai antara 15 hingga 20 orang, suka bergaduh, mabuk, bertengkar dengan jiran dan ada pula mandi dengan berseluar dalam di luar rumah serta tidak menjaga kebersihan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN