REMBAU: Kritikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu tindakan yang tidak membantu dalam usaha UMNO perlu menampakkan kesatuan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ketika penggal Parlimen ketika ini berbaki maksimum setahun, adalah sangat penting untuk UMNO memperlihatkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan.
Menurut beliau, parti yang menampakkan imej tidak bersatu tidak diterima oleh rakyat dan ia jelas ditunjukkan pada keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
“Rakyat mahu lihat kejujuran dan kecekapan dan visi membela nasib rakyat, mereka mahu undi parti yang ada perpaduan dan kesatuan yang tinggi bukan pilih parti yang berbalah.
“Ini tidak membantu (kenyataan Nur Jazlan) kenapa perlu cakap seperti itu, kalau ada sesuatu mahu disampaikan sama ada kepada presiden parti atau Perdana Menteri, banyak saluran yang ada.
“Yang terbaik adalah saluran dalaman, terutama apabila ia melibatkan komen tentang kepemimpinan parti atau negara yang sekarang diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Rembau di sini hari ini.
Semalam, Nur Jazlan dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
Khairy yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menambah, sekarang adalah waktu untuk semua kepemimpinan UMNO untuk membina kekuatan parti itu dan menampakkan usaha ke arah penyatuan yang lebih jitu.
“Saya sendiri dulu banyak komen tentang pemimpin lain dalam UMNO, tetapi sekarang ini adalah masa untuk bina parti, kalau tidak setuju boleh cakap dalam mesyuarat atau secara peribadi.
“Tidak perlu kita lemahkan parti kita dengan komen-komen yang tidak konstruktif di khalayak dan media, lebih baik kita mainkan peranan yang proaktif kepada parti dan beri tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat,” katanya lagi.- UTUSAN