JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mempunyai akta khusus untuk melindungi pelanggan yang dimaki hamun oleh peniaga seperti yang tular baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid sebaliknya berkata, semua pihak sama ada peniaga dan pelanggan diingatkan untuk bersabar dan beretika dalam menghadapi sebarang perselisihan.
“Sebagai peniaga, kita perlu mempunyai etika dalam menjalankan perniagaan kerana pelanggan adalah raja, apa yang dibuat pelanggan sepatutnya peniaga sentiasa bersabar dan bertolak ansur. Walau bagaimanapun kita tahu mungkin setiap pihak termasuk peniaga sedang tertekan ditambah lagi dengan kenaikan kos sara hidup, tetapi itu bukan alasan untuk bertindak biadab dengan pengguna,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Lotus Tebrau, di sini hari ini.
Baru-baru ini, tular sebuah video berdurasi 51 saat yang menunjukkan peniaga bertindak biadab dengan menghambur kata-kata kasar kepada salah seorang pelanggannya.
Sementara itu Rosol berharap kejadian seumpama itu akan menjadi pengajaran buat semua pihak terlibat sama ada golongan peniaga dan juga orang awam.
“(Setakat ini), kita tidak ada akta yang boleh untuk kompaun (peniaga sekiranya pelanggan dilayan secara kasar) dan sebagainya. Cuma kita berharap semua orang kena banyak bersabar,” jelasnya.
Sementara itu, bekalan barangan asas termasuk ternakan seperti ayam dan daging dijamin mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan sempena Aidiladha, bulan depan.
Rosol berkata, masyarakat tidak perlu bimbang kerana pihaknya juga dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bahawa bekalan berkaitan haiwan ternakan mencukupi untuk permintaan tempatan.
“Sungguhpun begitu, kita akan teruskan pemantauan menerusi 2,000 pegawai dan anggota KPDNHEP dan sekiranya terdapat kekurangan bekalan kita akan berbincang dengan MAFI untuk pastikan ia mencukupi dalam pasaran. Pemantauan bukan sahaja oleh penguat kuasa tetapi turut dibantu persatuan pengguna dan rakyat, mereka boleh salurkan maklumat sekiranya terjadi kekurangan bekalan di pasaran untuk tindakan segera,” jelasnya.
Katanya, KPDNHEP buat waktu ini masih belum mempunyai perancangan mengeluarkan skim kawalan harga sempena Aidiladha, kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu. – UTUSAN









