KKM tumpu isu harga susu formula, makanan protein atasi masalah bantut  - Utusan Malaysia

KKM tumpu isu harga susu formula, makanan protein atasi masalah bantut 

covid-19
KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harga susu formula dan makanan protein menjadi antara perkara penting  yang akan diberi tumpuan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjayakan usaha mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial, tetapi lebih buruk, masalah bantut boleh membawa maut.

Beliau berkata, atas isu itu, pihaknya mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia

yang dianggotai KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, Malaysia sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan di mana terdapat peningkatan kepada masalah kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan dewasa. 

“Masalah ini berlaku hampir di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Putrajaya. Ini menunjukkan masalah ini merentasi semua kategori sosiodemografi sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian melalui jawatan kuasa ini kerana mahu memastikan akses harga makanan protein dan susu mampu milik. Senang sahaja mahu meminta ibu bapa beli susu, tetapi isunya, harga yang tidak mampu,” katanya, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu harga susu formula bagi mengatasi masalah bantut dalam sidang akhbar sempena pelancaran Program Media #AnakMalaysiaSihat di pejabatnya. 

Ketika diminta mengulas sama ada isu bantut di Putrajaya, Khairy berkata, isu di Putrajaya perlu kajian mendalam bagi mengenal pasti faktor sebenar. 

Katanya, sihat itu bukan gemuk tetapi sihat itu adalah berkaitan kanak-kanak sihat.

“Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran, budaya kerja, dan akses kepada penjagaan kanak-kanak.

 “Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya dikenali antara yang mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti,” katanya. 

Mengulas mengenai isu taska termasuk yang tidak berdaftar, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca yang boleh ditangani. 

“Seperti taska dan tadika berdaftar, KKM terbabit dalam menu pemakanan di mana pengusaha perlu ikut menu yang ditetapkan tetapi yang tidak berdaftar, kita tidak tahu.

“Maka, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan permasalahan ini dapat diatasi dalam pelbagai perkara,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN