KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mempunyai kedudukan kewangan mencukupi untuk menampung pemberian subsidi minyak sekali gus terus membantu rakyat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini berikutan subsidi bahan api yang diberikan kerajaan bulan lalu adalah sebanyak RM5 bilion dengan unjuran berdasarkan harga semasa minyak mentah global.
Bagaimanapun, katanya, satu mekanisme perlu dilaksanakan dalam jangka masa panjang bagi memastikan pemberian subsidi bahan api itu lebih cekap bagi membantu golongan sasar.
Ujarnya, Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi 2022 yang mencecah RM70 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah.
“Kerajaan terus memantau keadaan harga minyak ini dan pada masa yang sama kita perlu melihat kepada pelan jangka masa panjang dengan salah satu cara adalah untuk laksanakan subsidi bahan api dengan lebih bersasar.
“Tetapi pada ketika ini, kerajaan masih mempunyai sumber kewangan dan terus menyokong rakyat dari segi memastikan mata pencarian, terutama bagi golongan yang terdedah dilindungi.
“Sasaran inflasi masih dalam apa yang dikatakan sebelum ini antara 2.3 peratus sehingga 3.3 peratus,” katanya selepas melancarkan Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Khazanah: Melabur dalam Peralihan yang Mampan 2022, di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, golongan kaya atau kumpulan T20 ketika ini lebih banyak menikmati subsidi yang diperuntukan kerajaan.
Beliau berkata, ini berikutan subsidi yang disalurkan kerajaan bersifat menyeluruh dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.
“Ketika ini, setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi ke golongan T20 manakala hanya 15 sen dimanfaatkan golongan B40.
“Peruntukan yang besar ini lebih baik diberikan kepada golongan yang betul-betul memerlukannya,” katanya. – UTUSAN










