Kesihatan kalis masa depan bakal fokus sistem penjagaan awal - KJ

Kesihatan kalis masa depan bakal fokus sistem penjagaan awal – KJ

KHAIRY Jamaluddin ketika berucap pada Dialog Kepimpinan Pemikiran Kesihatan Awam di Universiti Nasional Singapura baru-baru ini. - FOTO/IHSAN KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berhasrat mahu menjadikan sistem penjagaan awal diperkukuhkan lagi sebagai strategi kesihatan awam yang lebih bersifat kalis masa depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu termasuk pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional yang menyasarkan lebih 1.5 juta rakyat Malaysia berusia atas 40 tahun.

“Saya akan jelajah seluruh negara sepanjang bulan depan kerana banyak kes penyakit bukan berjangkit (NCD) dihidapi pesakit kerana mereka langsung tidak pernah buat saringan awal. Malangnya apabila sudah terlambat jatuh sakit teruk, mereka terpaksa bayar kos mahal untuk rawatan rapi di fasiliti kesihatan sehingga membebankan kewangan golongan itu,” katanya.

Ucapan tersebut disampaikan oleh beliau pada Dialog Kepemimpinan Pemikiran Kesihatan Awam di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura baru-baru ini.

Dengan membawa tajuk ‘Penjagaan Kesihatan Awam Kalis Masa Depan’, beliau berkongsi cabaran dan prospek potensi bidang berkenaan di Malaysia pasca pandemik Covid-19 kelak.

Ini termasuk laporan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan sebelum wabak itu muncul pada 2019 lalu yang mendedahkan masalah kesihatan mental kalangan remaja dan dewasa.

Tidak ketinggalan ialah belanjawan kesihatan awam di Malaysia yang terpaksa ditanggung kerajaan selain ketidakseimbangan pakar perubatan yang banyak tertumpu di fasiliti swasta.

Mengulas lanjut isu itu, Khairy membayangkan Kertas Putih Kesihatan yang bakal dibentang di Parlimen akhir tahun ini akan merangka strategi reformasi fokus kepada penjagaan awal.

“Tidak kira parti mana menang pilihan raya umum nanti, bidang kesihatan perlu kalis masa depan termasuk pembentukan Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan,” katanya.

Dalam nada serius, beliau berkata, pihak kerajaan tidak boleh menjamin untuk menanggung sebahagian besar kos rawatan pesakit di fasiliti awam walaupun dianggap seperti pelaburan.

Sebaliknya, rakyat seharusnya sedar untuk lebih mementingkan kesihatan kendiri terutama gaya hidup sihat dalam aspek pemakanan dan senaman bagi mengelak disahkan NCD. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya