Rayqal anak yang kuat – Siti Zakiah

Rayqal anak yang kuat – Siti Zakiah

MUHAMMAD Rayqal Rizqi Mohd. Fadir dipangku Siti Zakiah Mamat di rumah mereka di Kampung Rhu Dua, Rusila, Marang, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: “Apabila teringat semula sewaktu dia lahir dengan berat hanya 500 gram dan sebesar tapak tangan, saya fikir dia tidak dapat bertahan.”

Demikian luahan seorang ibu, Siti Zakiah Mamat, 39, ketika mengenang detik getir melahirkan bayi pra matang, Muhammad Rayqal Rizqi Mohd. Fadir ketika usia kandungan baru mencecah 31 minggu di Pusat

Rawatan Ibu dan Bayi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, 1 Februari lalu.

Katanya, anak keduanya itu dikesan mengalami masalah tumbesaran ketika kandu­ngan berusia 24 minggu selepas pemeriksaan lanjut dilakukan di hospital.

Katanya, hasil Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) mendapati perkembangan bayi dalam kandungannya jauh lebih kecil berbanding usia sebenar kandungan.

“Ketika itu saya perlu menjalani pemantauan setiap dua minggu di HSNZ bagi membolehkan doktor melihat perkembangan bayi.

“Sebelum mengandungkan Muhammad Rayqal Rizqi, saya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali, jadi saya sangat risau dengan keadaan kandungan kali ini,” katanya ditemui Utusan Malaysia di Kampung Rhu Dua, Rusila, di sini.

Menurut Siti Zakiah, bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang boleh membahayakan bayinya, dia selamat melahirkan Muhammad Rayqal Rizqi secara normal ketika usia kan­dungan 31 minggu.

“Sebaik sahaja melahirkannya, saya tidak sempat melihatnya kerana dia terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HSNZ. Saiznya hanya sebesar tapak tangan dengan berat 500 gram dan dia ditempatkan dalam inkubator hampir empat bulan. Setiap hari saya datang melawatnya,” katanya.

Siti Zakiah berkata, sepanjang dirawat di NICU, Rayqal me­ngalami komplikasi Necrotising Enterocolitis (NEC) sehingga menyebabkan kebocoran usus dan memerlukan pembedahan laparotomi kecemasan ketika baru berusia 10 hari.

“Ketika itu dia masih terlalu kecil tetapi sudah perlu menjalani pembedahan besar. Saya masih ingat pembedahan bermula pukul 6.30 petang dan selesai kira-kira pukul 9 malam. Luluh hati saya melihat bayi sekecil itu terpaksa menanggung kesakitan dan melalui semua prosedur tersebut,” katanya.

Katanya, selepas tiga bulan, Muhammad Rayqal Rizqi sekali lagi menjalani pembedahan bagi proses penutupan stoma dan kedua-dua prosedur dilakukan dengan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN