Kes Guan Eng: Lagi saksi akui buat invois, baucar palsu

Kes Guan Eng: Lagi saksi akui buat invois, baucar palsu

LIM Guan Eng hadir bagi perbicaraan empat pertuduhan rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menyaksikan seorang lagi saksi mengaku memalsukan akaun dengan menyediakan invois dan baucar palsu kepada empat buah syarikat sedangkan pembayaran tidak dijelaskan kepada syarikat-syarikat itu.

Ibrahim Sahari, 58, sebaliknya berkata, pembayaran dikeluarkan kepada bekas rakan sejawatannya, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang mana wang itu kemudian digunakan untuk merasuah Lim Guan Eng.

Perbicaraan sebelum ini diberitahu, wang rasuah itu adalah 10 peratus daripada keuntungan bersih syarikat kontraktor Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang mengendalikan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Semalam, bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZBUCG, Azli Adam mengaku menyediakan invois dan baucar bayaran palsu atas arahan Zarul Ahmad meskipun mengetahui perbuatan itu satu kesalahan.

Ibrahim yang kini bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) berkata, pada asalnya beliau tidak mengetahui kepada siapa wang itu diserahkan.

“Saya hanya mengetahui bahawa wang itu digunakan untuk merasuah Ketua Menteri Pulau Pinang seperti yang didedahkan oleh Zarul Ahmad sendiri setelah beliau (Zarul Ahmad) selesai memberi percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar.

Saksi pendakwaan ke-29 itu menyatakan, Zarul Ahmad yang ketika itu merupakan Pengarah CZCSB juga tidak memaklumkan cara pembayaran rasuah yang diberikan kepada Guan Eng.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Ibrahim menyatakan, pengeluaran wang daripada CZCSB kepada Zarul Ahmad diuruskan oleh Azli.

Pernyataan itu menyatakan pada 2017, CZBUCG telah ditukarkan kepada CZCSB kerana rakan kongsi iaitu BUCG telah keluar dari Consortium.

Tindakan itu atas arahan kerajaan negeri susulan insiden kren jatuh melibatkan kematian yang mana insiden tersebut berlaku dalam kawasan projek BUCG.

Ujar Ibrahim dalam pernyataan saksi, Zarul Ahmad turut mengarahkan beliau dan Azli agar mencari syarikat yang masih wujud namun tidak lagi aktif untuk menggunakan invoisnya bagi tujuan rekod pengeluaran wang.

Saksi berkata, empat syarikat itu ialah Sinar Bina Consultancy Services (SBCS), Bintang Ria Engineering (BRE), JKM Konsortium Sdn. Bhd. (JKMKSB) dan Jurutera Konsult Maju Sdn. Bhd. (JKMSB).

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Ibrahim mengaku beliau dan Azli melakukan kesalahan dengan menyediakan invois dan baucar bayaran palsu.

Saksi turut mengaku mereka-reka transaksi pengeluaran wang namun menafikan beliau dan Azli adalah jaguh mereka-reka keterangan di mahkamah untuk kepentingan peribadi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 25 Julai ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya