Kerajaan kena siasat calon SPM tercicir - Utusan Malaysia

Kerajaan kena siasat calon SPM tercicir

Kerajaan digesa memberi peluang kedua kepada pelajar SPM yang tercicir untuk membina hidup mereka kepada lebih baik. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera melakukan post mortem bagi mengetahui punca 10,681 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang berdaftar tidak menghadiri peperiksaan penting itu.

Pelajar yang ‘hilang’ itu membabitkan calon sekolah dan persendirian yang kali pertama mendaftar untuk SPM serta yang mengambil lebih enam mata pelajaran.
Kedudukan dan punca sebenar kumpulan tersebut men siasiakan peperiksaan itu perlu dikenal pasti bagi mengelak berlaku generasi hilang selepas menempuh pengajian lima tahun di peringkat menengah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, jumlah
ketidakhadiran pelajar untuk menduduki SPM pada 10 hingga 15 tahun lepas adalah kecil kerana semua tahu peperiksaan
ini adalah kemuncak sistem pendidikan sejak tahun satu dan ‘tiket’ untuk melanjutkan pelajaran atau mencari pekerjaan.

“Jadi situasi ini (tidak hadir peperiksaan) jarang berlaku. Kalau dulu guru-guru pergi cari murid di rumah kalau berdekatan sekolah, kadang-kadang ada calon tertidur atau masalah pengangkutan selain menghubungi ibu bapa kerana kita serius untuk pastikan mereka duduki peperiksaan.

“Saya tidak fikir pelajar se­ngaja mensia-siakan peluang, perlu ada post mortem untuk meneliti apa kedudukan sebenarnya mungkin ada silap lain mengapa tidak mahu masuk, sebab ibu bapa bayar yuran untuk menduduki SPM,” katanya ketika dihubungi semalam.

Lembaga Peperiksaan (LP) kelmarin menjelaskan, seramai 9,037 orang atau 2.30 peratus daripada 10,681 yang tidak hadir adalah terdiri daripada calon sekolah Kementerian Pendidikan, sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat, manakala seramai 1,644 orang atau 0.42 peratus merupakan calon persendirian.

Analisis keputusan

LP turut memaklumkan bahawa jumlah calon berdaftar bagi peperiksaan SPM 2021 adalah seramai 407,097 orang se­perti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021, namun bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan, hanya 392,837 calon berdaftar diambil kira iaitu mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

Selain 10,681 calon tidak menduduki peperiksaan, seramai 45,526 pelajar lagi tidak layak mendapat sijil.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jamalullail Abdul Wahab berkata, KPM perlu mengambil serius situasi tidak hadir SPM dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi membuat analisis dan penelitian lengkap untuk mem­bela masa depan mereka.

Katanya, ia menjadi satu kerugian besar kepada pelajar, keluarga, masyarakat dan negara jika generasi yang menjadi aset negara dibiarkan tanpa dibina potensi mereka kerana sijil SPM adalah permulaan pengiktirafan ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru, KPM perlu lihat secara serius golongan ini sama ada memberi peluang untuk mereka mengikuti peperiksaan semula atau boleh mengikuti pusat kemahiran khas untuk membina bakat dan kemahiran mereka ke peringkat seterusnya.

“Siapa akan membela dan tanggungjawab siapa pelajar tercicir itu? Keadaan ini lebih serius jika ramai dalam kala­ngan mereka ini dari luar bandar sekali gus melebarkan jurang akses pendidikan,” katanya.

PdPR

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md. Kechik pula berkata, pandamik Covid-19 dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menyukarkan ramai pelajar mengikuti pembelajaran de­ngan sempurna antara faktor mengapa mereka tidak mahu menduduki peperiksaan SPM.

Apatah lagi, katanya, masalah pandemik dua tahun itu, ramai pelajar ketinggalan dan kesannya berlaku defisit pembelajaran akhirnya pelajar merasakan mereka tiada ilmu dan kemahiran untuk jawab SPM.

Justeru, beliau mencadang­kan KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengenal pasti latar belakang keluarga pelajar terbabit dan mencari jalan untuk membantu mereka mengambil peperiksaan SPM semula atau membantu pelajar ini belajar di pusat pengajian yang berteraskan kemahiran.

“Ini supaya mereka mempunyai kemahiran tertentu untuk mereka mencari rezeki menempuh kehidupan hari mendatang. KGMMB berharap pihak kerajaan segera mencari jalan membantu pelajar ini agar tidak berlaku lost generation dalam kalangan pelajar di Malaysia,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan juga sependapat, kebiasaan pelajar yang melalui tempoh pandemik sudah hilang minat untuk belajar dan memilih untuk bekerja atau berniaga.

Walaupun jumlah tinggi tidak hadir peperiksaan sudah dijangka, kata beliau, pihak sekolah perlu mengambil tindakan serius untuk mengenal pasti pelajar ini dan memberikan kaunseling jika ada antara mereka menghadapi masalah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN