TAPAH: Satu perbincangan bagi memuktamadkan kemasukan pembantu rumah warga Kemboja yang beragama Islam ke negara ini akan diadakan pada bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan ke Kemboja untuk bertemu dan berbincang bersama pimpinan negara itu seterusnya memuktamadkan perkara tersebut.
Menurut beliau, pihaknya sudah menyelesaikan masalah kemasukan pekerja asing warganegara Indonesia dan Bangladesh sebelum ini kecuali dari Kemboja.
“Saya akan ke sana (Kemboja) pada Julai ini dan kemungkinan besar kita akan selesaikannya (memuktamadkan kemasukan pembantu rumah Islam warga Kemboja).
“Selain Indonesia, Kemboja juga adalah sebahagian besar (penyumbang) pembantu domestik daripada orang Islam,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan komputer riba kepada pelajar B40 Parlimen Tapah sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TelentCorp di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kemasukan pekerja asing warganegara Indonesia ke negara ini, Saravanan berkata, perkara tersebut sudah diselesaikan sebelum ini.
Beliau berkata, bagaimanapun terdapat masalah di negara berkenaan melibatkan prosedur antara Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia dengan agensi berkaitan.
“Mereka akan menyelesaikannya dalam masa terdekat kerana Duta Indonesia sudah meluluskannya dan kita tiada lagi masalah dengan semua negara dan semua dah selesai. Majikan boleh mohon melalui dalam talian, bayar levi dan bawa masuk pekerja asing,” katanya.
Mengenai program hari ini, Saravanan berkata, seramai 100 pelajar daripada golongan B40 di Parlimen Tapah menerima komputer riba yang merupakan sumbangan daripada TalentCorp bagi kegunaan pembelajaran mereka.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk menggalakan pelajar yang menerima komputer riba ini untuk memberi tumpuan dalam pendidikan mereka. – UTUSAN










