PETALING JAYA: Tiga lot premis perniagaan emas milik keluarga yang dijalankan sejak 40 tahun lalu musnah sekelip mata dalam kebakaran di Pasar Keramat dekat sini, awal pagi semalam.
Peniaga, Nik Mohd. Arif Nik Azmi, 34, ketika ditemui Mingguan Malaysia berkata, dia menerima panggilan daripada penduduk berhampiran kira-kira pukul 1.30 pagi mengenai kejadian itu.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, dia melihat api sedang marak membakar tiga premis miliknya serta dua premis lain.
“Bagaimanapun, saya dan ahli keluarga lain meredah masuk ke premis untuk selamatkan barangan kemas yang disimpan.
“Alhamdulillah, kesemua barangan kemas dapat diselamatkan namun menanggung kerugian hampir RM100,000 apabila ketiga-tiga kedai musnah dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Tambah Nik Mohd. Arif, ini merupakan kejadian kali pertama berlaku sejak ahli keluarganya menjalankan perniagaan di Pasar Keramat pada 1976.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut dipercayai bermula daripada kedai yang menjalankan perniagaan baju terpakai.
Bagaimanapun jelas beliau, forensik bomba sedang menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.30 pagi dan seramai 47 anggota bersama 14 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak serta BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kemusnahan akibat kebakaran di pasar berkenaan kira-kira 50 peratus manakala sebahagian rumah berhampiran yang dianggarkan musnah kira-kira 10 peratus.
Jelasnya, pihak bomba mendapati api marak dengan besar disebabkan bahan binaan kedai berkenaan yang terdiri daripada kayu. – UTUSAN










