PETALING JAYA: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) kembali pulih meskipun terkesan pandemik Covid-19 apabila jumlahnya meningkat 26 peratus kepada RM180.2 bilion (AS$43.5 bilion) pada 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru EU sehingga kini kekal menjadi rakan dagangan penting kepada Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif Suruhanjaya Eropah untuk melibatkan rantau Indo-Pasifik dalam mewujudkan perkongsian yang lebih inklusif, pelbagai serampang dan mantap antara EU dan rantau itu melalui Strategi Kerjasama EU di Indo-Pasifik.
“Rangka kerja strategik itu bertindak sebagai pemangkin untuk memulihkan ekonomi di rantau ini. Selain itu, ia mengukuhkan pasaran ASEAN yang terletak di persimpangan interaksi ekonomi global, sambil berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi perniagaan untuk memasuki pasaran Indo-Pasifik,” katanya semasa Majlis Makan Malam Gala AGM Majlis Perniagaan EU-ASEAN dengan kerjasama EUROCHAM Malaysia, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mengenai hubungan ASEAN-EU, Ismail Sabri berkata, sebagai rakan strategik kepada ASEAN, Malaysia optimis EU terus memainkan peranan penting dalam pembangunan rantau ini di samping sentiasa menyokong Wawasan Komuniti ASEAN 2025.
“Meskipun terdapat kesan buruk daripada pandemik itu, EU terus menjadi antara rakan perdagangan dan pelaburan terpenting ASEAN. Dengan jumlah perdagangan sebanyak US$220.9 bilion dicatatkan pada 2020, EU adalah rakan perdagangan ketiga terbesar ASEAN,” katanya.
Perdana Menteri turut yakin kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan perniagaan EU akan terus membantu negara ke arah pemulihan ekonomi yang kukuh.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) diminta bekerjasama dengan lebih erat untuk meneroka potensi penuh negara ini serta rantau yang lebih luas.
Beliau menegaskan, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya untuk memastikan terus menjadi negara yang mesra perniagaan dengan lebih kepastian, akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan dalam inisiatif dan dasarnya.
“Saya ingin tekankan bahawa Malaysia komited ke arah melaksanakan segala mungkin untuk pemulihan ekonomi yang lebih pesat, melalui pelan dan dasar negara yang dirancang dengan teliti termasuk Bajet 2022, Rancangan Malaysia ke-12, Aspirasi Pelaburan Nasional dan MyDIGITAL.
“Peruntukan kerajaan untuk tahun ini berjumlah RM332.1 bilion (US$75.4 bilion) yang terbesar dalam sejarah negara bertujuan untuk menyokong pemulihan ekonomi berikutan pandemik, melalui tiga tonggak utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan,” katanya. – UTUSAN










