JPN Selangor digesa lunas tunggakan pelarasan gaji

JPN Selangor digesa lunas tunggakan pelarasan gaji

RAZALEE Ahmad (tiga dari kanan) bersama para kontraktor pekerja pembersihan sekolah hadir ke JPN hari ini bagi membincangkan isu tunggakan pelarasan gaji di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 700 pekerja pembersihan di seluruh Selangor melibatkan 106 kontraktor menuntut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melunaskan tunggakan peningkatan gaji minimum sejak 2020.

Tunggakan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan sehingga RM165 juta berdasarkan pelaksanaan Pelarasan Gaji Minimum (PGM) sebanyak dua kali iaitu RM1,100 pada 2019 dan RM1,200 pada 2020.

Pengerusi Persatuan Kontraktor Selangor (Pekkops), Razalee Ahmad berkata, beliau menggesa JPN menyelesaikan tunggakan terdahulu sebelum melaksanakan pembayaran baharu kepada pekerja RM1,500 bermula Mei lalu.

“Kami 106 kontraktor bimbang kerana tidak mampu mendahulukan RM1,500, sedangkan kewangan semakin parah sejak Covid-19 melanda dua tahun lalu. Hanya Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyelesaikan masalah kewangan kami untuk membayar gaji minima.

“Ada pekerja yang berhenti kerja kerana mereka tidak mahu gaji RM1,200 dan menyertai sektor pekerjaan lain yang mampu membayar RM1,500. Apabila pelaksanaan dilakukan secara rasmi kita juga berharap pihak KPM dapat membayar gaji minima secara automatik kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai sekumpulan kontraktor Pekkops bertemu pihak JPN hari ini.

Sebelum ini, persatuan kontraktor kebersihan dilaporkan merayu pihak kerajaan untuk menyegerakan tunggakan berdasarkan Pelarasan Gaji Minima (PGM) dan tunggakan bayaran kontraktor di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 58.

Dalam pada itu, Razalee turut memaklumkan, kemungkinan pihak kontraktor dan sekolah berdepan masalah kekurangan pekerja apabila ramai ahli menyuarakan menarik diri selepas mereka tidak dibayar gaji minimum terkini.

Menurutnya, pekerja-pekerja pasti beralih ke sektor lain yang menawarkan gaji mengikut PGM seperti dilaksanakan kerajaan bermula bulan lalu.

“Kita akan membawa perkara ini kepada KPM dan seterusnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai langkah terakhir,” tegasnya.

Katanya lagi, kerajaan dan JPN tidak wajar berkompromi dalam penjagaan kebersihan sekolah dan kesihatan pelajar berikutan wujud risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya seperti Covid-19 dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN