LUMUT: Hampir 5,000 penduduk di lima kampung yang terletak di sepanjang laluan tidak bertol Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini memohon kerajaan melakukan sesuatu bagi mempermudah kehidupan harian mereka dan mengelak kemalangan maut daripada kerap berlaku di laluan sedang dalam pembinaan itu.
Ini kerana penduduk di Kampung Batu 14 dan Batu 15 Lekir, Kampung Tersusun Kayan, Kampung Ulu Kayan dan Parit Jerman kini bukan sahaja sukar untuk menyeberang ke kawasan bertentangan dan memandu pada jarak lebih jauh untuk ke mana-mana destinasi tetapi juga berdepan risiko kemalangan jalan raya.
Wakil penduduk Kampung Tersusun Kayan dan Parit Jerman, Mohd. Basari Hamid, 72, sekarang sebahagian besar penduduk khususnya Parit Jerman di sini terpaksa melakukan pusingan-U sejauh empat kilometer jika mahu pergi ke Sitiawan, Seri Manjung atau Lumut jika ada sebarang urusan rasmi atau membeli barang keperluan.
“Penduduk terpaksa memandu sehingga ke kawasan Sejagop, Kampung Gajah untuk membuat pusingan U jika mahu pergi Manjung termasuk menghantar anak ke sekolah serta pergi ke masjid di Kampung Kayan.
“Kehadiran murid ke sekolah agama juga tidak mencapai 100 peratus kerana ada yang tidak dapat menghantar anak ke sekolah pada waktu petang kerana jarak jauh, malah ada yang nak ke surau di hadapan rumah juga terpaksa membuat pusingan jauh sehingga bilangan jemaah semakin berkurangan dan dibimbangi surau di Parit Jerman itu lama kelamaan akan ‘mati’ kerana tiada jemaah.
“Untuk berulang-alik pada jarak jauh itu juga membahayakan nyawa penduduk terutama penunggang motosikal kerana sejak laluan itu semakin cantik, kenderaan yang menggunakan jalan itu juga semakin laju,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis perjumpaan wakil penduduk bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor, wakil JKR dan kontraktor utama lebuh raya tersebut di premis Pasar Tani Kekal Lekir di sini semalam.
Menurut Mohd Basari, penduduk tidak menolak pembangunan dan memahami pemasangan penghadang konkrit di pembahagi jalan penting untuk keselamatan, tetapi sejak menetap di situ berpuluh tahun lalu, inilah situasi paling sukar dihadapi penduduk.
Beliau turut mencadangkan agar dibina kawasan pusingan U tambahan berhampiran Parit Jerman untuk kemudahan penduduk di tiga kampung di situ iaitu Parit Jerman, Ulu Kayan dan Kampung Tersusun Kayan.
Pengerusi Masjid Al Khairiah Batu 14 Lekir, Osman Abdul Mutalib, 58, pula meminta dibina laluan susur masuk dan persimpangan lampu isyarat untuk memudahkan penduduk berhampiran khususnya bertentangan lebuh raya untuk ke masjid khususnya ketika solat Jumaat.
Jelas beliau, ketika ini keadaan begitu membahayakan penduduk untuk ke masjid yang bukan sahaja terpaksa membuat pusingan-U pada jarak jauh tetapi juga kenderaan yang bergerak laju dan sibuk terutama pada hari minggu, cuti umum dan cuti persekolahan kerana ia menjadi laluan utama penduduk luar Perak khususnya dari arah selatan Semenanjung pergi bercuti ke Manjung dan Pulau Pangkor.
Penduduk Batu 15, Mohd. Zawawi Mohd. Yunus, 45, pula bimbang masalah banjir kilat yang pernah berlaku sebelum ini akan berulang kembali berikutan parit yang telah diperbesarkan bagi mengatasi isu banjir kilat, kembali menjadi sempit berikutan pembinaan lebuh raya itu.
“Mereka (kontraktor lebuh raya) membuang pembentung asal dan menggantikannya dengan pembentung sementara tetapi sehingga sekarang masih belum ditukar baru walaupun laluan ke rumah penduduk sudah diturap,” ujar beliau.
Sementara itu, Yahaya berharap kerajaan lebih prihatin dengan masalah penduduk kerana sering berlaku kemalangan maut sehingga ada yang menyifatkan laluan itu sebagai ‘kubur’ untuk penduduk di situ.
Beliau juga menyarankan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor terlibat memasang lebih banyak papan tanda pemakluman kepada pengguna jalan raya kerana ia masih dalam pembinaan dan arah laluan sering berubah sehingga mengelirukan bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi pemandu luar.
Dalam pada itu, wakil JKR Malaysia dari Putrajaya berkata, pihaknya akan membuat lawatan tapak dan mengenal pasti masalah penduduk yang mana boleh diselesaikan.
Menurutnya, laluan sepanjang sembilan kilometer melibatkan kawasan terlibat sudah dibina tiga jejantas, dua pusingan-U besar iaitu boleh digunakan kenderaan berat serta tiga pusingan U kecil, selain telah mematuhi peraturan teknik jalan dan Kajian Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA).
“Justeru, ada cadangan yang penduduk minta kita tidak boleh buat sebab ia melanggar prosedur dan arahan-arahan tertentu berkaitan pembinaan jalan.
“Bagaimanapun, mana-mana yang boleh ditambah baik, kita akan cuba lakukan (sebagaimana permintaan penduduk),” jelas beliau.
Beliau juga menjelaskan cadangan membina persimpangan lampu isyarat kurang praktikal kerana ia bakal melambatkan perjalanan sedangkan matlamat asal pembinaan WCE ialah untuk memendekkan perjalanan dari kawasan Lembah Klang ke utara tanah air. – UTUSAN









