Jangan bawa perbalahan Bersatu-BN di Semenanjung masuk Sabah - Utusan Malaysia

Jangan bawa perbalahan Bersatu-BN di Semenanjung masuk Sabah

HAJIJI Noor (duduk-empat kiri) bersama kepimpinan kanan Bersatu Sabah dalam majlis makan malam santai Armada Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengulangi pendirian tidak mahu bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama rapat bersama BN perlu dikekalkan demi kebaikan dan keharmonian negeri Sabah.

“Tidak perlu la gaduh-gaduh, apa yang kita mahu gaduh kerana kalau kita bergaduh, kita yang rugi. Kita mesti belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini. Malah, saya sudah jelaskan dengan rakan-rakan kita daripada BN, kita mesti bincang bagus-bagus demi kepentingan negeri Sabah.

“Jangan kita berebut-rebut kerusi, apa yang penting ialah kebaikan negeri Sabah dalam jangka masa yang panjang,” katanya semasa majlis makan malam santai bersama Armada Sabah semalam.

Ketua Menteri itu berkata, walaupun berlaku perbalahan antara Bersatu dan BN di Semenanjung Malaysia namun, situasi di Sabah berbeza. Maka, biarlah Sabah mencorakkan politik negeri ini mengikut acuan politik tempatan.

Menurutnya, beliau juga telah sampaikan kepada pucuk pimpinan Bersatu bahawa politik di Sabah agak unik kerana hubungan antara Bersatu dan BN cukup harmoni. Jadi, jangan bawa perbalahan di Semenanjung masuk ke Sabah.

Mengulas lanjut katanya, pada masa ini, Sabah telah membentuk sebuah gabungan yang kuat melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh lima parti komponen.

Perjuangan GRS yang begitu jelas berjaya memikat empat lagi parti lain yang ingin menyertai gabungan berkenaan dan permohonan itu akan dilihat secara serius.

Empat parti itu ialah Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyrakat (KDM) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Namun, beliau selaku Pengerusi GRS tidak boleh membuat keputusan bersendirian kerana perlu mendapatkan pandangan pemimpin-pemimpin lain dalam gabungan berkenaan.

“Bersatu dan GRS bukan parti yang sombong. Kita mahu bekerja untuk rakyat dan kita melayan rakyat sama seperti rakan-rakan lain.

“Sekiranya parti-parti tempatan ini boleh bersatu di dalam GRS, ia akan menjadi satu gabungan yang kuat untuk memerintah Sabah. Inilah mungkin yang dikehendaki rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan untuk tempoh 10 tahun sekiranya GRS-BN terus diberi mandat memerintah Sabah pada pilihan raya akan datang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya