JOHOR BAHRU: Rakyat di negeri ini dinasihatkan mengambil serius mengenai penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) selepas kes yang direkodkan di negeri ini setakat ini melonjak sehingga 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sejak awal tahun sehingga Sabtu lalu, sebanyak 5,234 kes HFMD telah dilaporkan berbanding 104 kes pada tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun kini berada dalam keadaan selamat dan situasi masih terkawal, namun ibu bapa perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dan ditetapkan.
“Dalam tempoh kira-kira sebulan yang lalu sahaja, kes ini meningkat mendadak sebanyak 4,594 kes menjadi kumulatif kes meningkat kepada 5,234 setakat Sabtu lalu.
“Justeru, kerajaan negeri menyeru kepada rakyat Johor agar mengambil serius mengenai penyakit HFMD. Ibu bapa perlu menggunakan masa cuti sekolah ini bagi mendidik anak-anak supaya memberi lebih perhatian terhadap kebersihan kendiri dan persekitaran.
“Sementara itu, pengusaha institusi pendidikan disarankan agar membuat kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di kawasan premis agar dapat kita bendung wabak HFMD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tian Soon berkata, peningkatan kes HFMD itu telah dijangka berlaku pada tahun ini ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selari dengan peningkatan kes di Malaysia.
Katanya, kebanyakan kes HFMD di negeri ini melibatkan golongan kanak-kanak bawah enam tahun iaitu sebanyak 4,594 kes bersamaan 87.8 peratus diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun (564 kes) dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.
“Sehingga kini, sebanyak 25 wabak aktif HFMD dilaporkan dengan Johor Bahru merupakan daerah tertinggi mencatatkan kejadian wabak aktif dengan 11 wabak diikuti Kluang (7), Kota Tinggi (5) manakala Muar dan Tangkak masing-masing satu wabak
“Lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini melibatkan taska dengan 41 wabak diikuti oleh rumah persendirian (18), tabika (13), tadika (8), prasekolah (7), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (2) dan lain-lain (3),” katanya.
Katanya, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari.
Tambahnya, memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyeru semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga mengurangkan risiko jangkitan. – UTUSAN










