PETALING JAYA: Penyampai radio terkenal, Dj Lin, berkongsi perkembangan kesihatan terkini ibunya, Puteh Jantan, yang kini masih berada di hospital bagi menjalani rawatan lanjut.
Menurut Lin, dia terpaksa meninggalkan ibunya buat seketika pagi ini, kerana perlu menghadiri sebuah majlis bagi menerima Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia, malam ini.
Dalam pada itu, dia memohon orang ramai agar sentiasa mendoakan ibunya dipermudahkan sesi dialisis pada pagi ini selain kesihatannya bertambah baik.
“Pagi ini Dj Lin terpaksa tinggalkan mak seketika untuk kembali ke Kuala Lumpur.
“Malam ini Lin akan terima Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia bagi tahun 2021/2022 hasil undian Pengguna di Malaysia anjuran Majalah antarabangsa @readersdigest.
“Doakan sesi dialisis mak Lin dipermudahkan pagi ini dan keadaan kesihatannya bertambah baik, sembuh dan boleh balik rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Lin turut berkongsi ibunya sering menyebut hendak pulang ke rumah dengan kadar segera.
Oleh hal demikian, dia sekali lagi memohon agar para pengikutnya mendoakan yang baik-baik buat ibu tersayangnya.
“Itu sahaja yang mak selalu sebut yang dia nak balik rumah.
“Terus doakan mak Lin ya #makdjlinsakit #doakanmakdjlin,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, penyampai radio itu memaklumkan keadaan ibunya semakin terjejas apabila tangan dan kaki kirinya membengkak dan meninggalkan kesan lebam yang teruk.
Menurut Dj Lin, ibunya terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada Jumaat lalu susulan masalah kesihatan yang dihadapi.










