Hutan Simpan Nenggiri: Husam sifatkan saman tindakan pramatang

Hutan Simpan Nenggiri: Husam sifatkan saman tindakan pramatang

HUSAM MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan tindakan saman dikeluarkan sebuah syarikat ke atasnya berkait pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang sebagai pramatang.

Husam berkata, hal ini kerana siasatan dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait isu tebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri, bersebelahan dengan kawasan kerja plaintif belum lagi konklusif.

Katanya, saman tersebut adalah satu gangguan terhadap tugas-tugasnya sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi kepentingan awam.

“Saman ini boleh disifatkan menggantung diri sendiri oleh plaintif dan boleh menjadi pisau dua mata. Insya-Allah, saya bertanggung jawab di atas dakwaan dan pertanyaan saya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit, termasuk dua rencana yang dirujuk.

“Saya juga, tidak akan berganjak dalam usaha saya menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan untuk memastikan semua pihak yang terlibat di bawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Syarikat Al Dar Resources Sdn. Bhd. dan Pengarah Urusannya, Mohd. Haffiz Mohd. Rasdin masing-masing memfailkan saman fitnah berjumlah RM60 juta terhadap Husam berkait isu pembalakan di HSK Nenggiri.

Writ saman itu dikeluarkan berhubung dua hantaran Facebook yang dimuat naik tokoh berkenaan bertajuk ‘Kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa?’ dan kenyataan 6 Jun yang bertajuk ‘Kelantan dikuasai gandingan Dua H? Gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YAB Datuk Ahmad Yaakob’.

Husam memberitahu, beliau hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar yang mewakili Mohd. Haffiz Mohd. Rasdin petang semalam melalui serahan tangan yang dibuat kepada pembantu rumahnya.

Katanya, beliau mengarahkan peguam memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman itu kerana melihatnya sebagai penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang kerana pihak berkenaan belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di kompartmen 25 HSK Nenggiri.

“Saya tegaskan, sepanjang tulisan  yang dirujuk dalam saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas plantif.

“Sehingga ini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh kerajaan negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan pemaju Bandar Perabot yang mana Plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manfaat,” ujarnya.

Husam berkata, sudah menjadi amalan dalam sistem demokrasi berparlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk pihak-pihak yang berkaitan dengan tanggungjawab awam memberi maklum balas atas pertanyaan, kritikan dan urusan berkaitan kepentingan awam.

“Maklum balas terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan membolehkan urusan kepentingan awam tidak diabai, diselewengkan atau tidak menepati kepentingan awam secara umum. Dengan itu juga, pertikaian awam dapat dielakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN