Husam disaman RM60 juta

Husam disaman RM60 juta

MOHD. Haffiz Mohd. Rasdin (kiri) menujukkan writ samannya terhadap Husam Musa semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Syarikat Al Dar Resources Sdn. Bhd. dan Pengarah Urusannya, Mohd. Haffiz Mohd. Rasdin masing-masing memfailkan saman fitnah berjumlah RM60 juta terhadap Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkait isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Writ saman itu dikeluarkan berhubung dua hantaran Facebook yang dimuat naik tokoh berkenaan bertajuk ‘Kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa?’ dan kenyataan 6 Jun yang bertajuk ‘Kelantan dikuasai gandingan Dua H? Gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YAB Datuk Ahmad Yaakob’.

Syarikat Al Dar Resources dan Mohd. Haffiz, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Husam, sebagai defendan pada 21 dan 22 Jun lalu.

Azeel Eskandar Azmi berkata, keseluruhan kenyataan yang dilontarkan oleh Husam dalam dua hantaran itu tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah sehingga telah menjatuhkan imej anak guam yang mempunyai reputasi baik di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak dijawab sehingga hari ini menyebabkan writ saman dan pertanyaan telah difailkan terhadap defendan.

“Antara tuntutan dari anak guam kami (Al Dar Resources Sdn. Bhd.) ialah ganti rugi am sebanyak RM10 juta akibat penerbitan kata-kata yang diadukan dan kata-kata fitnah tersebut. 

“Kedua ganti rugi khas sebanyak RM40 juta iaitu kerugian atau kehilangan pendapatan daripada penerbitan perkataan-perkataan yang diadukan dan perkataan-perkataan fitnah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Azeel Eskandar memberitahu, tuntutan ketiga ialah satu perintah mengarahkan defendan memadamkan semua penerbitan perkataan-perkataan yang diadukan dan perkataan-perkataan fitnah tersebut.

Katanya, satu perintah injuksi berterusan dan atau kekal bagi defendan untuk tidak menerbitkan sebarang perkataan-perkataan di laman sosial.

“Selain itu satu perintah injuksi mandatori memerintahkan defendan mengeluarkan satu permohonan maaf secara bertulis terhadap anak guam kami. Seterusnya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang ditafsirkan oleh mahkamah apabila perbicaraan nanti.

“Untuk kes kedua antara Mohd. Haffiz (plantif) dan defendan, kami memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta akibat daripada penerbitan perkataan-perkataan yang diadukan dan perkataan-perkataan fitnah tersebut. Selain itu, satu perintah injuksi mandatori memerintahkan defendan mengeluarkan satu permohonan maaf secara bertulis terhadap anak guam kami,” ujarnya.

Azeel Eskandar berkata, pengurusan ini telah ditetapkan pada 13 Julai depan. 

Sementara itu, Mohd Haffiz, 38, turut menegaskan segala kenyataan yang dikeluarkan Husam adalah tidak benar.

Katanya, syarikatnya mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn Bhd bagi projek mengeluarkan saki-baki kayu dalam kawasan berkenaan untuk penempatan semula Orang Asli bagi pembinaan hidroelektrik Nenggiri untuk kawasan yang ditenggelamkan.

“Kelulusan kepada syarikat kami bukan projek pembalakan sebaliknya kerja-kerja pembersihan bagi mengeluarkan saki-baki kayu dan pembinaan semula penempatan Orang Asli.

“Saya menegaskan dakwaan yang menyatakan saya dikatakan terbabit dengan pembalakan itu tidak benar. Saya mengeluarkan semua kayu bagi memudahkan pemilik projek menjalankan kerja-kerja mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya