budi bicara

Hukuman mati tetap ada – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada masyarakat Orang Asli dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 Persatuan Orang Asli Semenanjang Malaysia (Poasm) di Bera, Pahang, semalam. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori bukan bermaksud tiada lagi pelaksanaan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah negara.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, hukuman mati tetap ada cuma tiada lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam menjatuhkan hukuman.

Ia juga katanya, bagi memberi peluang kedua kepada pesalah terbabit.

“Dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, kita dapat laporan jawatankuasa berkaitan untuk melihat cadangan hukuman mandatori dipinda. Hukuman mati tidak dimansuh kena faham ia masih kekal ada, tetapi mandatori ditukar kepada budi bicara.

“Kalau sekarang sebagai contoh Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) hakim tiada pilihan dan terikat dengan mesti jatuhkan hukuman mandatori sedangkan kadang-kadang melibatkan anak-anak muda umur 18 tahun, hakim mungkin punya pandangan anak muda ini teraniaya ada dadah dalam beg tapi tidak dapat buktikan siapa yang bagi.

“Akhirnya hakim tiada pilihan perlu jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori walaupun hakim anggap budak muda ini patut diberikan peluang untuk hidup dan boleh berubah.

“Jadi kita berpandangan, setiap manusia perlu diberi peluang kedua, jadi hakim ada dua pilihan kalau dia rasa itu memang penjenayah tegar, mengedar dadah menyebabkan ribuan orang mati, boleh dijatuhkan hukuman mati dan kalau ikut budi bicara hendak beri hukuman seumur hidup dengan sebat sekali, jadi dia boleh pinda hukuman mandatori kepada hukuman lebih ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 Persatuan Orang Asli Semenanjang Malaysia (Poasm) di sini semalam.

Kerajaan semalam bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

Pelbagai pihak menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori. Sebelum ini terdapat desakan banyak pihak supaya Malaysia menghapuskan hukuman itu yang dilihat sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN