Harga siling ayam RM9.40 sekilogram, subsidi RM369.5 juta

Harga siling ayam RM9.40 sekilogram, subsidi RM369.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa 1 Julai ini, harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia selepas kerajaan mengambil keputusan tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan pemberian subsidi.

Pada masa sama, harga siling runcit telur ayam turut ditetapkan pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji) sepertimana diputuskan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menerusi pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta bagi penetapan harga siling tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, keputusan itu juga mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga  Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40. 

“Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia adalah fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

RONALD KIANDEE

Bantuan BKM melibatkan seramai 8.6 juta penerima  diluluskan dengan isi rumah bakal menerima  sehingga RM2,600 tahun ini. Bantuan intu adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh  mana-mana kerajaan.  

Februari lalu, kerajaan memutuskan pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak di seluruh negara melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM528.52 juta.

Pemberian subsidi itu melibatkan sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kilogram, selain pemberian subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji untuk semua jenis kategori telur. 

Bagaimanapun, kerajaan membuat keputusan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak bermula 1 Julai ini kerana ramai dalam kalangan mereka tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan.

 Sebaliknya, kerajaan menukar kaedah pemberian subsidi itu terus kepada rakyat yang memerlukan dengan peruntukan bantuan tunai tambahan BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta bagi Fasa 2. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN