Harga hotel turut melambung - Utusan Malaysia

Harga hotel turut melambung

NORSALENAWATY MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hampir sebahagian besar hotel tiga hingga lima bintang termasuk hotel bajet di negara ini mengalami kenaikan mendadak harga bilik melebihi 15 peratus sepanjang cuti persekolahan ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Hotel Lacrista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan berikutan kenaikan harga bahan mentah dan permintaan tinggi daripada pelancong luar negara khususnya Singapura.

Katanya, kenaikan harga bahan mentah sejak awal tahun ini telah memberi kesan besar terhadap hotel yang menyediakan sarapan pagi, bufet dan makanan ala carte.

“Faktor permintaan tinggi daripada pelanggan khususnya dari Singapura turut mempengaruhi harga bilik standard daripada harga RM282 mencecah sehingga RM900 berdasarkan tempahan secara dalam talian.

“Walaupun harga hotel naik mendadak, sepanjang cuti sekolah ini semua bilik telah habis ditempah,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri berkata, selain harga bahan mentah, kenaikan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei lalu turut menyumbang kepada pertambahan kos operasi lantas menyebabkan majoriti pengusaha terpaksa menaikkan harga bilik.

“Bagi harga bilik standard harga asal ialah RM160 naik kepada RM185, bagi bilik deluxe pula dari RM240 hingga RM280 manakala bilik suite pula dari RM462 mencecah RM485,” katanya.

Sementara itu, bagi pemilik Hotel Queenspark Lovite, Norsalenawaty Mohd. Salleh, harga yang ditawarkan dilihat langsung tidak membebankan pelanggan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk cuti persekolahan.

“Kenaikan harga bilik dijangka berterusan selepas berakhirnya musim cuti sekolah, namun kenaikan adalah sedikit dan tidak membebankan pelanggan yang menginap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN