Hanya boleh lambai, sebut 'hai'

Hanya boleh lambai, sebut ‘hai’

MOHD. Ali Saad (dua dari kiri) menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara daripada Mulkiaman Manzar yang berkunjung ke rumah bekas anggota polis itu di Kampung Baharu, Kuala Nerang, Kedah. - MINGGUAN/MOHD. RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Peristiwa pertemuan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan pemimpin komunis Malaya, Chin Peng pada 29 Disember 1955 masih segar dalam ingatan bekas anggota polis yang turut terlibat dalam sejarah tanah air itu.

Mohd. Ali Saad, 92, dari Kampung Baharu, di sini berkata, sepanjang berkhidmat sebagai anggota badan beruniform itu selama 35 tahun, momen pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu tidak pernah dilupakannya.

Katanya, selain Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng, pertemuan tersebut dihadiri pemimpin komunis lain seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Chen Tien.

Dia yang bertugas di Tampin, Negeri Sembilan ketika itu diarahkan mengawal keselamatan di sekitar dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Baling yang menjadi lokasi perjumpaan berkenaan.

“Ketika dimaklumkan oleh ketua balai untuk bertugas di situ, saya dan rakan-rakan lain tetap bimbang sekiranya sesuatu akan terjadi semasa perjumpaan itu. Sehinggalah tiga hari sebelum peristiwa tersebut, Tunku Abdul Rahman sendiri turun memberi penerangan dan semangat kepada kami.

“Ketika itu kedua-dua pihak juga telah bersetuju melakukan gencatan senjata selama empat hari dan semua anggota tentera perlu berada sejauh empat kilometer (km) daripada lokasi perjumpaan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Terdahulu, dia menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disampaikan Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar di rumahnya di sini.

Mohd. Ali yang memiliki nombor anggota polis 783 berkata, semasa pertemuan itu, semua anggota yang bertugas tidak dibenarkan memakai seragam polis.

Mereka juga tidak dibenarkan membawa sebarang senjata atau kayu pemukul (cota) ketika mengawal keadaan dan hanya dibenarkan melambai tangan serta menyapa pemimpin-pemimpin komunis berkenaan dengan perkataan ‘hai’ tanpa bercakap lebih lanjut.

Katanya, selepas mesyuarat itu, pihak komunis tidak mahu menghadiri majlis makan yang disediakan kerana bimbang.

“Perjumpaan itu berlangsung aman tanpa sebarang persengketaan walaupun tiada persetujuan dicapai. Selepas itu semua anggota yang bertugas menghantar komunis terbabit ke Bukit Paku di Baling.

“Kenangan itu tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini dan jika keadaan mengizinkan saya teringin untuk ke sana sekali lagi bagi menatap dewan sekolah yang memberi kenangan manis sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis.

Sementara itu, Mulkiaman berkata, pingat itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada anggota polis yang berkhidmat di era darurat sebagai menghargai keberanian dan jasa mereka yang sanggup berkorban nyawa semasa bertugas terutama menentang komunis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya